25 tahun menanti, akhirnya dapat miliki tanah sendiri

Zainol
- Advertisement -

KUALA NERUS: Penantian hampir 25 tahun untuk memiliki tanah sendiri akhirnya berakhir dengan penuh syukur bagi penerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pada majlis penyerahan di Pejabat Daerah Kuala Nerus, Khamis lalu.

- Advertisement -

Che Wan Zainol Anuar Che Wan Ahmad, 60, berkata, beliau tidak pernah menyangka hasrat yang lama dipendam akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama tanpa sebarang berita.

“Saya rasa seperti bermimpi kerana perkara ini sudah lama tiada khabar dan saya memang tidak menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki tanah. Bukan sekadar sehelai borang, tapi inilah harapan, maruah dan impian yang tertanam sejak dulu.

“Sejujurnya saya tidak percaya apabila saya diserahkan surat untuk menerima Borang 5A pada hari ini, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menunaikan janji manifesto,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail di Dewan Cenderawasih, di sini.

Seorang lagi penerima RTB Mengabang Bakong, Azhar Abdul Ghani Muhammad, 63, turut meluahkan rasa syukur apabila tanah yang pernah ditarik balik lebih dua dekad lalu kini dikembalikan semula.

“Hari ini salah satu hari paling gembira dalam hidup saya. Impian memiliki secebis harta untuk diri sendiri akhirnya termakbul.

“Saya mewakili semua peserta yang terkilan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu, ADUN Batu Rakit, YB Ustaz Mohd Shafizi Ismail dan Pejabat Daerah Kuala Nerus,” tambah beliau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, seramai 219 penerima menerima Borang 5A pada majlis berkenaan dilarang untuk menjual tanah yang diberikan sebelum mencapai tempoh ditetapkan.

“Antara syarat utama ialah tanah ini tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun pertama. Diharap penerima dapat memanfaatkan pemberian tapak kediaman ini dengan mendirikan rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2025

- Advertisement -