
KANGAR: Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Perlis telah dilangsungkan dengan semangat keharmonian dan kebersamaan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan, Datin Marzita Mansor hadir mewakili Menteri Besar menzahirkan rasa syukur atas nikmat keharmonian yang terus subur di negeri ini.
Beliau menyampaikan salam mesra serta ucapan Selamat Menyambut Deepavali daripada Menteri Besar kepada seluruh masyarakat beragama Hindu di negeri ini.
“Deepavali bukan sekadar perayaan yang penuh warna-warni dengan cahaya, tetapi membawa makna mendalam khususnya buat masyarakat India yang memahami nilai yang terkandung di dalamnya.
“Nilai ini sejajar dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang kita pupuk dalam masyarakat majmuk negeri ini,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sentiasa komited memperkukuh program kebersamaan antara masyarakat agar sambutan seperti ini menjadi wadah memahami dan menghargai kepelbagaian budaya serta agama.
Datin Marzita turut menekankan bahawa perpaduan rakyat adalah asas utama kemajuan negeri dan negara, dan menyeru seluruh lapisan masyarakat agar menjadi ejen perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama di bawah semangat ‘Perlisku Bestari, Berkat, Lestari’.
Datin Marzita turut berkongsi mengenai pelaksanaan Skim Kafalah Perlis, satu inisiatif kebajikan baharu kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah ‘Negeri Berkebajikan’.
“Skim ini menyediakan bantuan khairat kematian kepada waris si mati dari golongan miskin tanpa mengira latar belakang kaum atau agama. Peruntukan sebanyak RM1 juta setahun telah diluluskan dalam Belanjawan Perlis 2025,” jelasnya.
Sehingga kini, seramai 36 penerima telah diluluskan untuk menerima bantuan sebanyak RM500 tunai setiap seorang dan mereka yang layak boleh mendaftar melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat masing-masing.
“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang diuji. Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan bagi memastikan tiada rakyat Perlis yang terpinggir,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar, Wan Badariah Wan Saad dalam ucapannya menegaskan bahawa sambutan perayaan seperti Deepavali adalah manifestasi keharmonian yang telah lama bertapak di Perlis.
“Negeri Perlis walaupun kecil dari segi keluasan dan jumlah penduduk, tetapi kaya dengan nilai kebersamaan. Penduduk kaum India di negeri ini dianggarkan sekitar 3,000 hingga 4,000 orang.
“Walaupun bilangannya kecil, namun peranan mereka amat signifikan dalam membina keharmonian serta menyumbang kepada ekonomi, pendidikan dan kebajikan negeri,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa masyarakat India di Perlis bukan sahaja aktif dalam keusahawanan dan perkhidmatan, tetapi juga menjadi jambatan perpaduan antara kaum melalui persatuan sosial dan sambutan perayaan yang turut diraikan bersama masyarakat lain.
“Kerajaan negeri amat menitikberatkan nilai perpaduan sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri. Tanpa hubungan baik antara kaum, segala agenda pembangunan tidak akan dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.
Wan Badariah menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh program integrasi masyarakat dan dialog antara agama, di samping mendorong generasi muda untuk menghargai kepelbagaian budaya.
“Kita tidak perlu menjadi sama untuk bersatu. Yang penting ialah rasa hormat, kasih sayang dan semangat bekerjasama demi kebaikan bersama. Inilah kekuatan sebenar masyarakat Perlis,” tambahnya.
Beliau menyeru seluruh rakyat agar menyalakan ‘sinar perpaduan’ dalam diri masing-masing agar negeri ini terus diterangi nilai kasih sayang, toleransi dan persefahaman.
“Apabila rakyat hidup bersatu padu, maka negeri Perlis akan terus kekal aman, sejahtera dan dihormati. Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India di Perlis. Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2025





















