
KAHERAH, Mesir: Kerajaan Negeri Perlis dalam Misi Pengantarabangsaan Jalinan Kerjasama dan Pemerkasaan Pendidikan Islam turut ke Kaherah, Mesir selepas Amman, Jordan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengetuai delegasi dengan mengadakan pengisian rohani penuh bermakna bersama anak-anak Perlis di perantauan di bumi anbiya’ itu.
Menurut Mohd Shukri, program tersebut diteruskan di bumi Kaherah dengan suasana penuh harmoni yang menzahirkan keakraban antara pimpinan negeri dan pelajar-pelajar Perlis di Mesir.
“Alhamdulillah, saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Perlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail, dan Ketua Hakim Syarie, Jaidi Ahmad, berpeluang menunaikan solat Subuh berjemaah bersama para pelajar ‘Anak Perlis’ di Rumah Perlis, Kaherah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri kuliah Subuh yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.
Dalam majlis sama, Mohd Shukri turut melancarkan ‘Kempen Jom Solat’ serta menyempurnakan penyampaian sumbangan aktiviti oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para pelajar.
“Alhamdulillah, suasana penuh harmoni ini mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan negeri dan anak-anak Perlis di Mesir. Semoga mereka terus cemerlang dalam menuntut ilmu.
“Pulang kelak sebagai aset berharga yang akan menyumbang kepada pembangunan negeri dan ummah,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Program ini menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan rasmi antara kerajaan negeri dengan institusi pendidikan Islam serta kebajikan pelajar-pelajar Perlis di luar negara. – HARAKAHDAILY 26/10/2025





















