
TUMPAT: Projek naik taraf Taman Puteri Saadong yang diurus Majlis Daerah Tumpat menelan kos RM500,000 merupakan antara usaha penting majlis tersebut dalam menyediakan kemudahan riadah kepada penduduk setempat.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Naswan Ismail berkata, projek tersebut dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara dengan sokongan Kerajaan Negeri.
Menurutnya, taman itu melibatkan pembinaan trek joging, taman permainan kanak-kanak serta padang serbaguna yang kini menjadi tumpuan masyarakat.
Beliau berharap kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Wakaf Bharu khususnya dan Tumpat amnya bagi tujuan kesihatan serta aktiviti kekeluargaan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada bahagian pembangunan landskap Majlis Daerah Tumpat yang menyelenggara projek ini dengan baik. Harapan saya agar kemudahan ini digunakan sebaik mungkin untuk manfaat orang ramai,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, dalam kesibukan pelbagai penyakit muncul akibat gaya hidup tidak sihat, masyarakat perlu mengambil peluang menggunakan kemudahan seperti taman rekreasi untuk membina amalan hidup sihat.
“Kita semua bertanggungjawab melaksanakan kefahaman gaya hidup sihat melalui langkah-langkah praktikal seperti bersenam, berjalan kaki dan berjoging. Ambillah peluang menggunakan kemudahan yang disediakan ini untuk manfaat kesihatan,” serunya.
Beliau turut mengakui bahawa kawasan Wakaf Bharu tidak mempunyai banyak tempat riadah sebelum ini, justeru usaha menaik taraf Taman Puteri Saadong amat dihargai.
“Inisiatif seperti ini wajar dikembangkan ke lokasi lain seperti Medan Usahawan di Tumpat dan kita berharap ia dapat diangkat sebagai projek di bawah Kementerian Ekonomi pada masa hadapan,” ujarnya.
Mohd Rusli turut menyeru masyarakat serta kepimpinan setempat agar menjaga kemudahan awam itu dengan baik agar ia kekal berfungsi dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 26/10/2025













