
TAWAU: Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmennya untuk menampilkan calon berintegriti, bersih dan berjiwa rakyat bagi memastikan Sabah ditadbir oleh kepimpinan yang amanah dan bertanggungjawab selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ketua Pemuda PN, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata PN mahu menawarkan barisan calon yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan politik negeri itu.
“Kita mahu membawa kekuatan kepimpinan yang amanah dan jujur kerana Sabah sepatutnya lebih maju kerana hak 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perlembagaan seharusnya menguntungkan rakyat.
“Namun, disebabkan tiada kejujuran dalam pentadbiran, pembangunan Sabah tertinggal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PN Sabah, malam tadi.
Beliau berkata, PN akan memberi peluang besar kepada golongan muda untuk diketengahkan sebagai calon, dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon terdiri daripada anak muda, sama ada daripada sayap pemuda atau profesional muda.
“Yang penting, mereka memiliki integriti dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan mengejar kepentingan peribadi,” katanya.
Afnan menjelaskan, PN kini mencapai tahap 80 peratus kesiapsiagaan menghadapi PRN Sabah dan sedang menunggu keputusan muktamad pembahagian kerusi yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN Pusat di Kuala Lumpur, esok.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menolak dakwaan bahawa parti nasional sukar diterima di Sabah, sebaliknya yakin wajah PN di negeri itu mencerminkan rakyat tempatan sendiri.
“Walaupun PN parti nasional, barisan kepimpinan di Sabah adalah anak tempatan yang memahami denyut nadi rakyat negeri ini.
“Mereka lahir, membesar dan hidup di Sabah, malah bercakap dengan bahasa rakyat sendiri,” katanya.
Afnan turut menegaskan PN berbeza daripada parti lain kerana bebas daripada isu rasuah serta menampilkan kepimpinan yang berintegriti dan bersih.
“Rakyat Sabah sudah bijak menilai. Mereka mahu pemimpin yang amanah dan tidak terpalit dengan skandal rasuah.
“Itu kekuatan PN, kerana kita tampil dengan rekod bersih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata persepsi Islamofobia di Sabah semakin pudar apabila semakin ramai masyarakat terbuka menerima pendekatan pendidikan dan kebajikan yang diperjuangkan oleh parti dalam PN.
“Ramai ibu bapa kini menghantar anak ke sekolah-sekolah di bawah institusi seperti PASTI dan SRITI, yang menunjukkan mereka semakin percaya kepada perjuangan kita.
“Ini bukti rakyat mula melihat kejujuran dan hasil usaha yang dibawa oleh PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2025




















