TMK ’25: Pekan Rabu aset pelancongan dan warisan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Usaha mengembalikan kemasyhuran Pekan Rabu sebagai ikon ekonomi orang Melayu dan warisan negeri Kedah adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan seluruh rakyat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, Pekan Rabu mesti terus berdiri megah sebagai lambang sejarah negeri.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan turut menegaskan, Pekan Rabu adalah simbol kehebatan semangat anak-anak Kedah yang gigih berniaga serta berdaya saing.

Menurutnya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif penganjuran Karnival Jom Mai Pekan Rabu 2.0 x Festival Warisan Laksa, sebagai antara usaha berterusan menghidupkan semula suasana dan daya tarikan pusat perniagaan lagenda itu.

“Begitu juga dengan program-program lain sebelum dan selepas ini. Semuanya kita sokong setakat yang mampu, bukan sahaja kerana mahu memastikan program yang dianjurkan berjaya, tetapi juga memastikan Pekan Rabu kekal masyhur dan tersohor,” katanya.

Beliau yakin bahawa Pekan Rabu akan turut menerima limpahan manfaat daripada TMK2025, khususnya dari segi peningkatan jumlah pengunjung serta pengukuhan populariti sebagai destinasi pelancongan budaya dan ekonomi Melayu.

“Saya percaya impak daripada penganjuran TMK2025 dapat dirasai di Pekan Rabu, baik dari segi kehadiran pengunjung mahupun popularitinya,” katanya optimis.

Salleh turut berharap penganjuran karnival dan festival ini dapat memberi manfaat besar kepada para peniaga, usahawan muda serta masyarakat tempatan.

“Sebagai peminat laksa, saya mengalu-alukan langkah kreatif penganjur yang menggabungkan Karnival Jom Mai Pekan Rabu 2.0 dengan Festival Warisan Laksa. Ini satu idea kreatif untuk menarik minat orang ramai dan memperkukuh identiti warisan kita,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar konsep sebegini diteruskan dengan memperkenalkan festival berasaskan makanan tradisional lain pada masa depan.

“Dengan apa cara pun, kita mesti berusaha mengangkat warisan-warisan kita. Mungkin selepas ini boleh gabungkan pula dengan Karnival Gulai Temenung, Karnival Peknga, atau apa-apa juga makanan tradisional warisan Kedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2025

- Advertisement -