Kesungguhan kunci Adib Haziq hafaz al-Quran 2 tahun 10 bulan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kesungguhan dan pengorbanan masa rehat menjadi kunci kejayaan Muhammad Adib Haziq Mohd Fuad, 17, apabila berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 2 tahun 10 bulan sahaja.

- Advertisement -

​Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kejayaan tersebut bukanlah bergantung kepada keupayaan semata-mata, tetapi atas kesungguhan yang tinggi untuk mendalami kitab suci itu.

​”Dia bukan keupayaan tetapi kesungguhan, kalau dulu saya pun susah nak dapat hafal semuka. Saya korbankan masa rehat saya, masa cikgu tak masuk kelas untuk saya pergi ‘tasmi’ (semak hafazan), jadi saya dapat hafal sehari tiga muka,” jelasnya.

Beliau yang merupakan anak kepada pasangan Mohd Fuad Ahmad, 46, dan Rose Malinie Ismail, 40, turut berkongsi rahsia kejayaannya.

​Atas pencapaian cemerlang itu, Adib menerima Anugerah Khas Asy-Syatibi (Tokoh Huffaz Cemerlang) bersama Nur Haziqah Damiya Hasnul Hisham pada Majlis Khatam Hafazan Al Quran 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar pada 16 Oktober lepas.

​Majlis itu turut meraikan penerima anugerah lain iaitu Anugerah Khas Zaid bin Thabit (Tokoh Tahriri Terbaik) yang diterima oleh Muhammad Muaz Akmal Nizam dan Aina Imtisal Amrul Fadly.

​Penerima Anugerah Khas Hafs ‘An ‘Aasim (Tokoh Semarak Tekad) ialah Ahmad Muizzuddin Ahmad Sahimi dan Marissa Qaireen Zulhalmie, manakala Anugerah Abdullah bin Mas’ud (Tokoh Murajaah) diberikan kepada Muhammad Harith Abd Ghani dan Hasanah Muhammad Zaidi.

​Anugerah Khas Abu Bakar As-Siddiq (Ikon Huffaz) pula disandang oleh Luqman Hazeeq Mohd Kamal dan Hanan Samihah Ahmad Zaki.

​Sejak diiktiraf sebagai Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) pada tahun 2018, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) telah berjaya melahirkan seramai 1,063 orang huffaz.

​Kejayaan itu membuktikan kegigihan sekolah berkenaan dalam membentuk generasi Qurani yang berilmu dan berakhlak mulia.

​Sementara itu, ibunya, Rose Malinie menyifatkan Muhammad Adib Haziq sebagai seorang anak yang sangat bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya.

​”Dia memang jenis bersungguh. Cuti sekolah ada kem hafazan yang ustaz SMKAK buat di masjid-masjid satu Kedah, di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling dan merata lagi.

​”Dan dia salah seorang yang ajak kami pergi setiap masjid yang ada, setiap hari. Kami cuma mampu hantar ke Kulim dan Sungai Petani sahaja, yang lain tak sempat sebab jauh,” ceritanya.

​Tambah beliau lagi, anaknya itu juga seorang yang ringan tulang dan mudah membantu keluarga.

​”Mudah la suruh kalau minta tolong apa-apa, suruh masak ka, kerja berat angkat-angkat berat-berat, senang suruh,” katanya.

​Adib yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 23 November nanti, bercita-cita untuk merealisasikan impian ibunya iaitu untuk menjadi seorang jurutera. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -