PAN taksub sanjung Anwar, tapi abaikan presiden sendiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan fenomena penyokong dan laskar siber PAN yang terlalu taksub mengangkat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai satu pengulangan sejarah lama ketika kumpulan sama berada dalam PAS 15 tahun lalu.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamad Nawi berkata, situasi itu memperlihatkan bagaimana perjuangan PAN kini berpaut kepada sosok Perdana Menteri, bukan lagi kepada nilai serta prinsip perjuangan parti sendiri.

“Ketika itu (15 tahun dahulu), mereka juga lebih cenderung memuja Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng berbanding menghargai kepimpinan (Tan Sri) Tok Guru Haji (Abdul) Hadi Awang yang menjadi simbol istiqamah dan prinsip perjuangan Islam.

“Dan kini sejarah itu berulang kembali apabila mereka lebih sibuk menyanjung Anwar hingga melupakan presiden sendiri, Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya.

Beliau berkata dalam keghairahan mereka menyanjung Anwar, ramai tidak sedar bahawa Mohamad Sabu semakin tenggelam dalam arus politik yang semakin dingin.

Katanya, ahli dan pimpinan PAN seperti terputus daripada tanggungjawab mempertahankan maruah serta peranan presiden mereka sendiri.

Sebaliknya bidas Firdaus, mereka lebih ghairah menulis pujian terhadap Anwar hingga nama Mohamad Sabu semakin hilang daripada radar politik nasional.

Beliau menambah, tanpa memperkukuh kekuatan dalaman, PAN hanya akan menjadi pelengkap kepada gabungan besar tanpa nilai tersendiri.

“Bila parti itu tidak lagi membawa manfaat kepada Anwar atau DAP, mereka boleh diketepikan begitu sahaja tanpa belas,” ujarnya.

Katanya lagi, lebih menyedihkan apabila ada pemimpin PAN sendiri yang sanggup melompat ke PKR, sedangkan pimpinan parti itu hanya berdiam diri.

“Mereka tidak mampu bersuara, mungkin kerana PKR itu milik Anwar. Sakit hati melihat ahli sendiri berpaling tadah, dua kali sakit apabila parti rakan menerima keahlian itu tanpa rasa bersalah,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada penyokong PAN hari ini sudah tidak lagi melihat nilai pada Mohamad Sabu atau sekadar belum sedar bahawa parti tanpa akar dan jati diri akhirnya akan layu sebelum sempat berbuah. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -