LPT3: Kerajaan Pusat digesa percepat pelaksanaan projek

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan supaya segera memuktamadkan dan memulakan pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang sekian lama dinantikan rakyat Terengganu dan Kelantan.

- Advertisement -

Ketuanya, Muhamad Hamdi Harun berkata, projek itu amat penting bagi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya dari LPT2 di Kampung Gemuroh, Kuala Nerus ke Tunjong, Kota Bharu dapat direalisasikan sepenuhnya, sekali gus menjadi nadi utama pembangunan ekonomi dan sosial Pantai Timur.

“LPT3 bukan sekadar infrastruktur pengangkutan, tetapi nadi kemajuan rakyat Pantai Timur yang akan membuka banyak peluang pekerjaan, meningkatkan aliran pelaburan serta memendekkan masa perjalanan antara negeri-negeri Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, walaupun projek itu telah lama dirancang, Kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan pelaksanaannya atas alasan menilai semula kebolehlaksanaan dan model pembiayaan.

“Malangnya, sehingga kini Kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan pelaksanaan projek ini, kononnya atas alasan menilai semula kebolehlaksanaan dan model pembiayaan.

“Kami berpandangan bahawa alasan sedemikian tidak wajar dijadikan hujah untuk terus menangguhkan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada jutaan penduduk di kawasan Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan bahawa rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kelewatan dan ketidaktentuan dasar Kerajaan Pusat, sedangkan negeri-negeri Pantai Timur juga antara penyumbang utama hasil negara.

“Sehubungan itu, Pemuda PAS menuntut agar Kerajaan Persekutuan menyatakan segera garis masa rasmi bagi pelaksanaan projek LPT3 serta kajian kebolehlaksanaan diselesaikan dengan segera dan dimuktamadkan dalam tahun ini.

“Kerajaan juga tidak menangguhkan pelaksanaan atas alasan politik atau pertimbangan konsesi semata-mata, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat dan semua pihak, khususnya Kementerian Kerja Raya dan Unit Perancang Ekonomi, memberikan keutamaan kepada projek ini dalam Bajet 2026,” katanya.

Hamdi turut mengingatkan Kerajaan Pusat agar menghormati semangat federalisme dan tidak mengabaikan negeri yang ditadbir oleh kerajaan berbeza.

“Janganlah negeri yang ditadbir oleh kerajaan berbeza dihukum atau dianaktirikan, kerana hakikatnya rakyatlah yang akan menanggung kesannya.

“Prinsip federalisme menuntut agar pembangunan dan kemudahan infrastruktur diberikan secara adil kepada semua wilayah, tanpa mengira kecenderungan politik,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan LPT3 bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan jalan dan meningkatkan keselamatan pengguna, malah berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan ekonomi baharu di Pantai Timur, terutama dalam sektor pelancongan, logistik dan industri kecil.

“Kami menegaskan bahawa sudah tiba masanya suara rakyat Pantai Timur didengar dengan serius. Kelewatan demi kelewatan hanyalah memperlihatkan sikap sambil lewa Kerajaan Pusat terhadap pembangunan seimbang antara wilayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -