Subsidi beras tamat, petani jadi mangsa – Dato’ Dr Azman

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Petani kini berdepan tekanan apabila kadar potongan padi meningkat sehingga 40 peratus susulan penamatan subsidi berjumlah RM160 juta kepada pengilang, pembungkus dan pengedar beras bagi pengeluaran Beras Putih Tempatan (BPT).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, subsidi tersebut sebelum ini membolehkan harga runcit BPT dikekalkan pada RM2.60 sekilogram.

“Subsidi RM160 juta yang diberikan sebelum ini kepada pengilang, pembungkus dan pengedar beras untuk mengeluarkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram telah tamat.

“Sekarang harga runcit BPT dikekalkan pada RM2.60 sekilogram sementara harga lantai belian padi ialah RM1,500 per tan. Kilang perlu jual beras kepada pemborong pada harga RM2,500 per tan.

“Mereka tak akan mampu nak mendapat untung besar dengan harga lantai padi sekarang tanpa subsidi kerajaan sebagaimana sebelum ini. Akhirnya petani yang jadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, walaupun harga belian padi kekal RM1,500 per tan, petani kini berdepan kadar potongan yang jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

“Harga belian padi kekal RM1,500 per tan tapi petani dimangsakan dengan kadar potongan yang tinggi. Padi dengan kualiti elok yang biasanya kadar potongan sekitar 19 peratus, pada musim menuai sekarang dipotong paling rendah 25 peratus.

“Ramai pesawah mengeluh padi mereka dipotong sehingga 40 peratus. Kalau hantar satu tan padi ke kilang, 400 sekilogram akan dipotong, yang tinggal hanya 600 sekilogram. Petani nak makan apa dengan kadar potongan sebegini?” soalnya.

Azman turut menggesa Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara agar segera mengambil tindakan tegas terhadap pengilang yang menekan petani atas alasan kualiti padi.

“Saya memantau secara dekat kualiti padi dari petak sawah lagi. Kita tahu membezakan antara mutu dan kualiti pada setiap musim. Kadar potongan sehingga 40 peratus adalah zalim! Subsidi RM160 juta petani tak dapat apa-apa, bila subsidi tiada petani jadi mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2025

- Advertisement -