
SETIAP anak cucu Adam dilahirkan dengan fitrah serba suci dan bersih ibarat sehelai kain putih tanpa ada sebarang tompok kekotoran.
Masa berlalu hari demi hari, melalui pelbagai fasa dan ujian kehidupan, maka titik-titik serta tompok hitam semakin bertambah akibat kelalaian dan dosa seseorang.
Allah telah mengurniakan anugerah agung setiap tahun pada hambaNya, iaitu anugerah Ramadan untuk membersihkan diri serta Kembali pada fitrah.
Setiap ibadah dalam Islam sememangnya mahu mengembalikan fitrah seperti mula dilahirkan. Tetapi pasti berbeza dengan bulan Ramadan.
Allah memberi ruang selama sebulan, ibarat berada dalam kem motivasi yang penuh dengan disiplin, semangat berlumba-lumba dan mahu mencapai objektif program.
Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan persoalan fitrah ini. Antaranya ialah firman Allah SWT:
فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ
Maksudnya: (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. (Surah al-Rum: 30)
Begitu juga hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ
يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Fitrah secara ringkasnya bermaksud asal kejadian manusia yang Allah SWT jadikan manusia di atasnya, yang dengan kesuciannya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam.
Jiwa manusia asalnya bersih tiada sifat dengki, tamak, gila kuasa serta tunduk pada hawa nafsu.
Antara sifat yang boleh dipupuk kembali untuk disuburkan ialah :
- Mendidik hati untuk bersifat ihsan dan pemurah. Bersedekah pada bulan Ramadan dapat mencuci, menghilangkan sifat kedekut serta mementingkan diri sendiri. Kita akan memberikan yang terbaik kerana memahami Allah menyukai sifat ini. Firman Allah SWT:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.
(Surah Ali-Imran: 92)
- Membersihkan hati dengan membanyakkan memohon keampunan dengan beristighfar dan bertaubat kerana Allah itu Maha pengampun. Allah Ta’ala berfirman :
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az Zumar: 53).
Dengan bertaubat, hati menjadi lebih tenang dan bersih. Ini akan mendorong seseorang untuk melakukan pelbagai amal ibadah dan kebaikan.
- Meningkatkan rasa kehambaan pada Allah. Pada bulan Ramadan kita akan berusaha untuk memelihara solat fardu agar lebih sempurna dan khusyuk. Bukan itu sahaja, solat sunat rawatib, solat dhuha dan solat tarawih akan dlakukan tanpa gagal setiap hari. Tempoh sebulan sebagai latihan diharapkan akan berterusan pada bulan-bulan lain untuk diteruskan secara istiqamah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]
Kesimpulannya, Allah mahu membentuk hambaNya pada bulan Ramadan untuk kembali menjadi manusia yang fitrah.
Bukan sahaja menyihatkan jiwa dan rohani, bahkan kesihatan fizikal apabila berjaya mengekang pelbagai bentuk hawa nafsu untuk terus kekal sihat. – HARAKAHDAILY 26/2/2026




















