Rahsia cergas 80 tahun Md Daud Che Ngah

Pada usia 80 tahun, Datuk Md Daud Che Ngah masih bersemangat memimpin jemaah umrah Andalusia ke Tanah Suci.
- Advertisement -

SEPANG: Pada usia 80 tahun, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah, terus membuktikan komitmennya apabila masih aktif memimpin rombongan jemaah umrah ke Tanah Suci.

Menurut beliau, kekuatan dan kesihatan yang dinikmati sehingga kini adalah hasil doa yang tidak putus agar dipanjangkan usia dalam keadaan sihat bagi membolehkan beliau terus berkhidmat kepada jemaah.

- Advertisement -

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan dan keselamatan sekiranya dipanjangkan usia untuk terus memimpin jemaah.

“Saya mahu terus membantu jemaah agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman 25 tahun berkhidmat bersama Lembaga Tabung Haji sebelum menubuhkan Andalusia berkata, pengalaman luas itu banyak membantu dalam menguruskan rombongan umrah khususnya pada Ramadan setiap tahun.

Dalam perkembangan sama, seramai 284 jemaah kendalian Andalusia Travel berlepas ke Madinah pada jam 10 pagi tadi menaiki penerbangan Malaysia Airlines bagi menunaikan ibadah umrah sempena ketibaan Ramadan esok.

Sebahagian dari 284 orang jemaah umrah Andalusia Travel sedang mengaminkan doa yang dibaca Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Umrah kali ini berlangsung selama 13 hari dengan jemaah dijadual berada di Madinah selama empat hari sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah untuk tempoh lapan hari bagi menyempurnakan ibadah.

Md Daud menjelaskan, pihaknya telah merangka jadual khusus bagi memastikan jemaah dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beribadah pada Ramadan.

“Para jemaah akan dibawa menunaikan umrah sekurang kurangnya tiga kali pada waktu siang bagi memberi ruang kepada mereka menumpukan ibadah solat tarawih pada waktu malam yang hanya dilaksanakan dalam bulan Ramadan.

“Pelaksanaan umrah pada siang hari juga bertujuan membolehkan mereka merebut ganjaran pahala umrah pada Ramadan yang menyamai pahala haji walaupun terpaksa berdepan keadaan berpuasa dan keletihan.

“Walaupun tenaga agak terhad pada waktu siang, jemaah tetap sabar dan cekal demi meraih keberkatan serta meningkatkan ketakwaan,” jelasnya.

Komitmen berterusan beliau pada usia lanjut itu turut memberi keyakinan kepada jemaah bahawa pengurusan dan bimbingan ibadah dilaksanakan secara teratur dan berpengalaman. -HARAKAHDAILY 18/2/2026

- Advertisement -