
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bantuan yang disalurkan parti itu kepada masyarakat adalah tanpa syarat dan tidak pernah didahului dengan pertanyaan sokongan politik.
Beliau berkata, PAS tidak pernah bertanya ‘undi siapa dulu’ sebelum menghulurkan bantuan kerana pendekatan sedemikian bukan cara parti itu berkhidmat kepada rakyat.
“Bantuan kami bukan bersyarat. Kami tidak tanya, ‘undi siapa dulu?’ baru boleh hulur bantuan. Itu cara kamu, bukan cara kami,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, meraikan masyarakat Tionghua juga bukan perkara baharu dalam PAS kerana parti itu telah lama mempunyai Lajnah Perpaduan Nasional serta Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang berperanan mendekati masyarakat bukan Islam.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak itu menjelaskan bahawa, program ziarah, sumbangan dan dialog telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lalu dan bukan hanya muncul setahun sebelum pilihan raya.
“Kalau nak tunggu undi baru bergerak, memang tak bergeraklah jawabnya. Kami bekerja kerana tanggungjawab dan prinsip. Kamu bekerja kerana sentimen dan komen,” tegasnya.
Beliau turut menyindir pihak yang ‘panas’ melihat gambar ziarah mahabbah sempena Tahun Baharu Cina dengan mendakwa masyarakat Cina tidak mengundi PAS.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, beliau hanya tersenyum membaca komen yang disifatkannya sebagai ‘pakar statistik maya’ dalam kalangan ‘cybertrooper’.
Tegasnya, PAS bergerak bukan kerana undi dan jika mengikut logik pihak berkenaan, parti itu sudah lama berhenti menyantuni rumah yang memaparkan lambang parti lawan.
“Siap pakai lambang parti lawan pun, tetap kami hulur bantuan. Sebab kami faham beza antara khidmat dan kempen.
“Kamu sakit hati, kami terus berbakti. Kamu sibuk mengira undi, kami sibuk mengira amanah.
“Sedikit pun kami tak harap ehsan kamu. Teruslah jadi ‘Cybertrooper 20 sen’… kami terus jadi khadam masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2026











