Penguatkuasaan mesti adil, bukan terpilih

Isu rampasan Street Dakwah di Bukit Bintang

- Advertisement -

PEMUDA PAS membantah keras tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang petang semalam.

Tindakan menghantar seramai 12 pegawai untuk menutup dan merampas bahan dakwah ketika hanya seorang sukarelawan bertugas adalah sesuatu yang menimbulkan persoalan besar dari sudut kewajaran, keutamaan penguatkuasaan dan prinsip keadilan pentadbiran.

Selama 14 tahun aktiviti Street Dakwah berlangsung di lokasi tersebut secara aman dan terbuka. Ia bukan aktiviti jual beli, bukan program politik, dan tidak mengganggu lalu lintas. Bahkan sebelum ini pihak penganjur pernah mendapatkan maklum balas bahawa tiada keperluan permit kerana tiada unsur komersial dan tiada halangan kepada orang awam.

- Advertisement -

Jika benar terdapat polisi baharu yang mewajibkan permit, maka ia sepatutnya dimaklumkan secara jelas, bertulis dan berperingkat, bukan dilaksanakan secara mengejut dengan tindakan rampasan. Lebih-lebih lagi apabila pada minggu sebelumnya, aktiviti yang sama berlangsung tanpa sebarang teguran.

Pemuda PAS juga dimaklumkan bahawa hanya reruai dakwah MRM yang dirampas, sedangkan terdapat aktiviti lain di sekitar kawasan yang melibatkan peletakan barangan dan jualan. Jika semua pihak lain memiliki permit, maka jelaskan kepada umum supaya tidak timbul persepsi penguatkuasaan terpilih. Jika tidak, maka prinsip keadilan menuntut tindakan yang konsisten terhadap semua.

MRM adalah organisasi yang patuh undang undang. Jika perlu memohon permit, mereka bersedia memohon. Jika dikenakan kompaun, mereka bersedia membayar. Pendekatan Pemuda PAS jelas, hormati undang-undang dan institusi.

Namun, timbul persoalan apabila terdapat pihak yang mendakwa mempunyai hak mengurus kawasan tersebut dan merancang menyewakannya kepada pihak lain. Jika benar kawasan pejalan kaki awam diserahkan kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial, maka DBKL wajar menjelaskan dasar dan mekanismenya agar tidak menjejaskan hak penggunaan awam secara adil.

Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa dakwah secara aman adalah hak yang dijamin dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, selagi tidak menggugat ketenteraman awam. Pendekatan keras terhadap aktiviti dakwah yang bersifat sukarela dan tidak komersial akan menimbulkan persepsi yang tidak sihat dalam masyarakat.

Penuda PAS tidak mahu membuat tuduhan melulu. Kami percaya DBKL adalah institusi profesional. Justeru kami menggesa agar penjelasan rasmi diberikan kepada umum dan ruang dialog dibuka segera supaya isu ini dapat diselesaikan secara matang, berwibawa dan berlandaskan prinsip keadilan.

Undang-undang mesti ditegakkan secara konsisten. Penguatkuasaan mesti bebas daripada persepsi pilih kasih. Dan ruang dakwah yang aman tidak wajar dilihat sebagai ancaman. Pemuda PAS menuntut DBKL dan Menteri Wilayah memberi penjelasan segera!

USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/2/2026

- Advertisement -