ANMS: Perkukuh kesihatan mental, emosi rakyat

- Advertisement -

PUTATAN: Pembentangan Belanjawan 2026 perlu tambahan dana dan inisiatif dalam aspek prasarana kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Sabah yang masih berdepan kekangan kemudahan asas serta peningkatan isu kesihatan mental yang membimbangkan.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Afifi Saiffuddin, walaupun Belanjawan 2026 memperuntukkan tumpuan kepada sektor kesihatan, perlu ada langkah lebih strategik bagi memastikan rakyat luar bandar, khususnya di Sabah, tidak terus ketinggalan dalam menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

“Kerajaan perlu memperluas capaian perkhidmatan kesihatan dengan menubuhkan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) yang masuk ke kawasan pedalaman secara berkala. Ramai rakyat di Sabah tinggal jauh dari pekan utama dan terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk rawatan asas.

“Klinik bergerak boleh menjadi penyelesaian segera,” katanya yang ditemui dalam program Khidmat Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Pasar Tamu Daerah Putatatan, di sini hari ini. (Foto atas)

Beliau turut menegaskan, pelaburan dalam sektor kesihatan luar bandar bukan hanya melibatkan infrastruktur fizikal, tetapi juga sistem sokongan menyeluruh yang mudah diakses oleh rakyat di semua lapisan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik kesinambungan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam belanjawan kali ini, namun menekankan keperluan memperkukuh aspek kesihatan mental dan kesejahteraan emosi rakyat, terutamanya di Sabah.

“Kita berdepan realiti bahawa masalah kesihatan mental kini meluas merentasi semua peringkat umur. Ramai pekerja dan suri rumah mengalami tekanan emosi tanpa tempat mendapatkan bantuan yang sistematik. Sudah tiba masanya kerajaan memperkukuh program sokongan psikologi komuniti,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar menyediakan dana tambahan untuk program sokongan psikologi komuniti di sekolah, tempat kerja dan pusat komuniti atau tambahan kaunselor di klinik kerajaan dan melatih lebih ramai kaunselor komuniti dan pegawai psikologi di setiap daerah.

Bagi khidmat kesihatan tambahan, ujarnya kerajaan perlu memperuntukkan dana bagi pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga emas dan golongan B40, serta mewujudkan rekod digital kesihatan rakyat bagi membolehkan data rawatan diakses di mana-mana institusi kesihatan dalam negara untuk tindakan segera.

“Rekod kesihatan digital bukan sahaja mempercepat rawatan kecemasan, malah membolehkan doktor membuat keputusan lebih tepat berdasarkan sejarah kesihatan pesakit,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut akan melengkapkan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2026, sekaligus memastikan rakyat Sabah menikmati sistem kesihatan yang lebih inklusif, moden dan mesra rakyat, seiring dengan matlamat Malaysia Sihat dan Sejahtera. – HARAKAHDAILY 12/10/2025

- Advertisement -