
SEREMBAN: Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan (DMPN9) terus membuktikan komitmennya dalam agenda kebajikan apabila turun padang menyantuni golongan asnaf dan memerlukan menerusi program Ziarah Kasih dan Sumbangan Prihatin di Taman Seremban Jaya, di sini, baru-baru ini.
Program anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) itu bertujuan mendekati masyarakat secara langsung bagi meringankan beban mereka yang berdepan dengan pelbagai kesukaran hidup.
Menerusi inisiatif tersebut, pelbagai sumbangan penting telah disalurkan kepada penerima yang telah dikenal pasti, merangkumi katil wakaf, kerusi roda, kerusi mangkuk tandas, lampin pakai buang, bakul makanan serta sumbangan wang tunai.

Pengerusi LKKS DMPN9, Normah Suhor berkata, usaha murni ini merupakan aktiviti berterusan Muslimat PAS untuk berkhidmat dan menyantuni golongan yang memerlukan di peringkat komuniti.
“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk memastikan tiada ahli masyarakat yang tercicir, selaras dengan perjuangan PAS yang sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” ujarnya.
Program tersebut turut mendapat sokongan daripada pimpinan PAS kawasan setempat yang hadir bagi menjayakannya, antaranya Yang Dipertua PAS Kawasan Rasah, Nor Herman Mohd Yusof, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, Ghazali Abu Bakar; serta Ketua Lajnah Kebajikan Rasah dan Seremban. – HARAKAHDAILY 12/10/2025




















