
KOTA BHARU: Seramai 1,100 golongan asnaf dari 11 mukim di Daerah Melor menerima sumbangan zakat hasil kerjasama Andalusia Travels & Tours Sdn Bhd bersama Masjid Imanul Fa’izin.
Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Dr Abdul Fattah Yaakub berkata, program yang diadakan secara berkala itu merupakan penganjuran pertama bagi tahun ini sebagai usaha meringankan beban golongan asnaf menjelang Ramadan.
Menurut beliau, agihan zakat tahun ini disalurkan melalui masjid untuk diberikan kepada penerima yang layak mengikut mukim selama tiga hari berturut-turut bagi memastikan bantuan sampai kepada sasaran.
“Sebelum ini agihan zakat turut diberikan kepada sekolah-sekolah terpilih pada akhir tahun lalu bagi membantu pelajar membuat persiapan sesi persekolahan baharu.
“Namun tahun ini kita memilih golongan asnaf pula untuk dibantu bagi meringankan beban mereka menyambut Ramadan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian tersebut.
Beliau berkata, seramai 400 penerima menerima sumbangan pada Isnin manakala selebihnya akan diagihkan pada hari ini, Selasa dan esok, Rabu.
Tambahnya, pihak masjid juga merancang untuk melaksanakan beberapa lagi program agihan zakat sepanjang tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.
Beliau menyatakan, antara sumbangan yang diberikan ialah barangan keperluan dapur bernilai RM150 bagi setiap penerima.

“Agihan ini dilaksanakan mengikut mukim selama tiga hari bagi memastikan semua penerima yang layak dapat menerima bantuan,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Che Rogayah Che Mamat, 53, dari Kampung Wakaf Tok Wali melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima.

“Terima kasih banyak. Moga bertambah lagi rezeki dan dapat diagihkan kepada lebih ramai orang,” katanya yang bekerja sebagai pembasuh pinggan di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya.
Beliau berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu keluarganya membuat persiapan menyambut Ramadan.- HARAKAHDAILY 16/2/2026




















