PRU16: Bentong bakal jadi kawasan tumpuan

- Advertisement -

BENTONG: Perikatan Nasional (PN) Bentong mula menunjukkan isyarat awal bahawa kawasan ini bakal menjadi antara kawasan tumpuan dan medan tempur utama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Ini terbukti apabila PAS Bentong menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menyasarkan kemenangan PN bagi kerusi Parlimen Bentong.

Yang Dipertua PAS Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada hasrat PAS dan PN untuk menyumbang kerusi kemenangan dalam misi menawan Pahang pada PRU16 nanti.

“Insya-Allah, PAS Bentong berhasrat bertanding sekurang-kurangnya dua kerusi DUN dalam Parlimen Bentong.

“Kami serius dan sedang mengatur gerak kerja serta memperkukuh jentera ke arah itu bagi menyumbang kemenangan PAS Pahang dalam PRU16,” katanya ketika ditemui di Rumah Sejahtera Bentong, semalam.

Khairudin hadir di dalam program serahan limau sempena Tahun Baharu Cina kolaborasi antara Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Bentong bersama Dewan Muslimat kawasan di bawah teraju Yusma Yusof. Turut hadir, Pengerusi Parti Gerakan Pahang, merangkap Pengerusi PN Bentong, Dato’ Ranndy Yap Kim Heng. (Foto atas)

Sementara itu, Pengerusi LPN Bentong, Amirul Mukminin Kuek Abdullah menegaskan keterbukaan PAS dan PN dalam mendekati masyarakat majmuk membuktikan bahawa politik Islam bersifat inklusif dan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja.

“PAS is for all. Saya Cina atau awak India, kita sama. Kita nak cari kawan, bukan mau cari gaduh maa,” katanya berseloroh.

Amirul yang juga satu-satunya Ahli Jawatankuasa PAS Bentong berbangsa Cina serta seorang mualaf berkata, Islam mengajar umatnya hidup dalam suasana harmoni, saling mengenali dan membantu antara satu sama lain.

“Allah jadikan kita berbilang bangsa untuk kenal-kenal, duduk baik-baik, saling tolong-menolong macam satu keluarga. Islam tak ajar kita beza-beza,” ujarnya.

Selain pemberian limau yang menjadi simbol ‘ong’ dalam masyarakat Tionghua, program tersebut turut diserikan dengan kuih bahulu tradisi Melayu sebagai tanda perpaduan budaya dan semangat muafakat PN merentasi kaum.

Dengan ‘signal’ jelas PAS dan PN Bentong siap sedia untuk bertanding, perkembangan ini dilihat sebagai langkah ‘pemanas badan’ yang signifikan menjadikan Bentong antara kawasan tumpuan menjelang PRU16. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -