Tahun Baharu Cina: Dr Halimah seru perpaduan kaum

Dr Halimah pada program Sumbangsih Tahun Baharu Cina DUN Meru
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menyeru rakyat di Kapar dan seluruh Malaysia supaya terus memperkukuh perpaduan kaum, saling menghormati dan bekerjasama dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera, sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, semangat perpaduan perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat majmuk bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara, selain menjadi asas kepada kemajuan bersama.

“Sempena kedatangan Tahun Kuda, semoga tahun ini membawa semangat keberanian, ketabahan dan kemajuan berterusan kepada kita semua.

“Semoga setiap langkah yang diatur membawa kejayaan, kesejahteraan serta kebahagiaan bersama keluarga tercinta. Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le!,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Seorang penerima sumbangan teruja menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina daripada Dr.Halimah.

Menurut beliau, ucapan itu ditujukan khusus kepada masyarakat Tionghua di Parlimen Kapar serta seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tersebut sebagai tanda penghormatan terhadap kepelbagaian budaya negara.

Sementara itu, pada Ahad lalu, Dr Halimah bersama Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru telah melaksanakan program Sumbangsih Tahun Baharu Cina sebagai usaha memperkukuh hubungan antara kaum di peringkat komuniti.

Dalam program tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada penerima yang menyambut Tahun Baharu Cina sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada masyarakat setempat.

“Program seumpama itu penting sebagai pendekatan praktikal untuk memupuk perpaduan melalui interaksi langsung dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2026

- Advertisement -