
LAHAD DATU: Hampir lebih 10 tahun Kasman Karate bersama rakan-rakan aktif membuat program kebajikan dan kemasyarakatan di Kunak.
“Walaupun nampak kecil, usaha-usaha ni kita jalankan dengan konsisten sebab saya percaya setiap bantuan walau sikit pun boleh beri kesan kepada kehidupan orang lain,” ujarnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, antara program yang dilaksanakan ialah Amal Qurban yang sudah berjalan lebih kurang 13 tahun.
Tambahnya, tahun 2022 adalah rekod paling tertinggi di mana 54 ekor ternakan dikorbankan.
“Inisiatif ini juga mahu tingkatkan kesedaran masyarakat Islam di Kunak tentang kepentingan ibadah ini tiap tahun,” ujar calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Kunak itu lagi.
Katanya, begitu juga program khatan percuma untuk asnaf yang dijalankan sejak 2015.
“Secara berkala kita bagi peluang golongan asnaf untuk khatan secara percuma manakala peserta lain hanya bayar RM50 sahaja.
Menurutnya, pernah satu ketika program itu menerima penyertaan yang paling ramai sehingga 100 orang.
“Sampai ke tahun 2025, program ni sudah pun dianjurkan lapan kali dan setiap kali dapat tengok senyuman anak-anak, memang rasa puas hati,” ujarnya.
Kata Kasman, setiap kali datangnya Ramadan, beliau lebih suka berkongsi rezeki sedikit dengan mereka yang memerlukan menerusi program Impian Ramadan.
Beliau menambah, banyak aktiviti ziarah dibuat untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik.
“Dari beri makanan, sumbangan sampai melawat rumah mereka, semua dijalankan dengan niat ikhlas tanpa henti sejak 2015,” tambahnya.
Selain program tahunan, ujarnya beliau dan rakan-rakan juga melakukan kunjungan kebajikan lain sepanjang tahun.
Beliau berkata, tujuannya ingin sentiasa dekat dengan masyarakat, mendengar sendiri cabaran mereka dan membantu sedaya upaya.
“Program ini banyak beri peluang kepada saya untuk faham lebih dalam tentang kehidupan sebenar masyarakat Kunak.
“Insya-Allah, kalau masih ada rezeki dan kudrat program-program ini akan diteruskan.
“Bukan untuk tunjuk hebat tapi semata-mata nak beri manfaat dan sokongan kepada semua orang Kunak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















