
KUANTAN: Nasib seorang ibu tunggal yang gigih menyara tujuh anak dengan menjual mee bandung mendapat keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berserah, Dato’ Andansura Rabu.
Wanita dikenali sebagai Jaswani itu sebelum ini mengusahakan Warung Kekanda di Beserah, namun terpaksa berdepan pelbagai kekangan selepas kematian suami.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau kini menjual mee bandung dari rumah selain mengambil upah membersihkan rumah orang.
Andansura berkata, hampir kesemua anak Jaswani masih bersekolah menyebabkan perbelanjaan bulanan keluarga itu tinggi.
“Walaupun ada sedikit bantuan daripada agensi berkaitan, ia tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan keluarga. Beliau tetap cekal berusaha demi memastikan makan minum, pakaian, pendidikan dan kesihatan anak-anak terjaga,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya sudah memasukkan Jaswani sekeluarga sebagai penerima sekiranya terdapat program bantuan yang diusahakan pada masa akan datang.
“Pihak saya sudah memasukkan Puan Jaswani sekeluarga sebagai penerima jika ada program bantuan tertentu yang kami usahakan.
“Mudah-mudahan tuan puan sudi membantu dengan menyokong perniagaan beliau. Beliau menjalankan perniagaan Mee Bandung melalui pesanan atau tempahan. Ada juga letak di kedai tapi jualannya tidak seberapa,” katanya.
Beliau mengajak masyarakat setempat membantu dengan menyokong perniagaan mee bandung yang diusahakan ibu tunggal itu.
“Beli sambil membantu, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2026




















