
KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia, Syeikh Dr Ahmad Raisuni menegaskan, kedudukan ‘Israel’ boleh dijadikan panduan dalam menilai sesuatu konflik politik dan ketenteraan.
Beliau berkata, sekiranya seseorang berasa keliru dan tidak dapat membezakan antara pihak yang zalim dan yang benar, antara golongan korup dan reformis, serta antara penyerang dan mangsa, maka individu itu disaran melihat kepada pendirian ‘Israel’ dalam konflik berkenaan.
“Jika konflik politik dan ketenteraan mengelirukan anda, dan anda tidak dapat membezakan antara orang yang zalim dan orang yang benar, orang yang korup dan orang yang reformis.
“(Termasuk) orang yang menyerang dan mangsa, mahupun di mana letaknya kebaikan dan kejahatan, maka lihatlah di mana ‘Israel’ berada, dan berpihaklah dengan pihak yang lain (lawan kepada Israel), dan anda akan mendapat keuntungan dan keselamatan,” katanya dalam media sosial miliknya.
Terdahulu media rasmi Iran melaporkan, Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei terbunuh susulan serangan udara yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel, dengan kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Khamenei maut dalam serangan yang disifatkannya sebagai usaha menamatkan ancaman keselamatan terhadap AS.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan menyatakan kempen ketenteraan terhadap Iran akan dipertingkat, dengan operasi di Tehran diperluas.
Beliau turut menyebut sokongan Amerika Syarikat sebagai faktor yang mengukuhkan tindakan ketenteraan Israel.
Susulan perkara tersebut, PAS mengecam keras serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran ketika rundingan sedang berlangsung.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah perang, serta pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tuan Guru turut mendesak Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bertindak tegas bagi menghentikan serangan yang mengancam keamanan dunia. – HARAKAHDAILY 5/3/2026




















