
KUALA LUMPUR: Kerjasama berpasukan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang mempertaruhkan kemahiran, pengalaman dan keberanian telah berjaya menyelamatkan seorang lelaki dalam cubaan bunuh diri.
Kejadian yang turut mendapat kerjasama polis bantuan dan orang awam serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu berlaku di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Midah, di sini petang kelmarin.
Tindakan lelaki warga Kemboja cuba terjun dari luar koridor lobi pejalan kaki aras atas stesen itu telah menimbulkan cemas kepada orang ramai yang menyaksikan, sebelum bersorak bangga menghargai kejayaan penyelamatan tersebut.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dalam kenyataan memaklumkan, pihak mereka menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada pukul 3.45 petang berhubung kejadian berkenaan.
Susulan itu, sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Jalan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi kejadian dengan bantuan BBP Bandar Tun Razak bagi melaksanakan operasi penyelamatan tersebut.
Operasi berjaya ditamatkan dalam suasana terkawal setelah lelaki itu berjaya dipujuk dan tindakan berani anggota bomba menarik lelaki itu daripada terjun, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Media sosial turut dibanjiri video kejadian mendebarkan itu hasil rakaman orang ramai yang ternyata setia menanti dan mengharapkan kejayaan usaha penyelamatan itu walaupun cemas dan mendebarkan. – HARAKAHDAILY 5/3/2026











