Tuntut ilmu sebagai ibadah, niat ikhlas kerana Allah

- Advertisement -

​PARIT: Para pelajar diingatkan agar memulakan setiap langkah menuntut ilmu dengan niat kerana Allah SWT bagi memastikan keberkatan dalam kehidupan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

- Advertisement -

​Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, setiap amalan bergantung kepada niat, justeru pencarian ilmu perlu dijadikan sebagai satu ibadah dan tanggungjawab agama.

​”Ilmu yang dicari tanpa niat yang betul tidak akan membawa keberkatan.

​”Kejayaan juga tidak datang tanpa usaha dan disiplin. Pelajar perlu bijak mengurus masa, menjaga solat serta memelihara akhlak dan adab terhadap guru serta ibu bapa,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bantuan Back To School Parlimen Parit di sini, semalam.

​Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan aktif sebagai penyokong utama pendidikan anak-anak melalui dorongan, teladan yang baik serta doa yang berterusan.

​”Ibu bapa adalah pemimpin dalam keluarga. Doa ibu bapa adalah antara doa yang paling mustajab dan menjadi kekuatan besar kepada kejayaan anak-anak,” ujarnya lagi.

​Pada program tersebut, seramai 115 penerima dalam kalangan masyarakat Parlimen Parit diraikan dengan sumbangan bantuan kewangan dan beg sekolah sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.

​Inisiatif anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit itu merupakan komitmen berterusan wakil rakyat berkenaan dalam memastikan kebajikan pendidikan anak-anak setempat terus terbela, khususnya bagi keluarga yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -