Walaupun membantu tetapi ada yang menyindir kata-kata

- Advertisement -

PARIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad turun padang menyantuni dan membantu membaiki kerosakan atap rumah seorang warga emas, Kassim Kutty Ali, 66, yang lebih mesra dikenali sebagai Pakcik Kassim.

- Advertisement -

​Tindakan segera ini diambil susulan aduan daripada Tok Sidang atau Ketua Kampung, mengenai keadaan atap rumah Pakcik Kassim di Kampung Pulau Pisang Bota Kiri yang rosak teruk ditimpa pokok dan hujan ribut pada 23 September lepas.

​Kerugian dianggarkan mencecah kira-kira RM10,000, melibatkan atap zink bumbung di bahagian hadapan, tengah dan belakang yang tercabut, selain beranda hadapan rumah yang runtuh.

​Walaupun menyantuni dengan bantuan pembaikan atap, Dr Najihatussalehah mengakui pihaknya menerima sindiran dari sesetengah pihak dengan kata-kata, “Yang Berhormat (YB) bagi atap je ke? Separuh aje ke baginya?”

​Menjawab kritikan sinis itu, beliau menjelaskan bahawa kekangan utama bukan kerana tidak mahu memberi bantuan penuh, tetapi masalah permohonan bantuan rumah baru yang terhalang.

​”Yong (saya) akui Yong tak mampu nak bagi bantuan sebiji rumah. Memang ada banyak agensi kerajaan yang boleh kita bantu mohonkan,” jelasnya merujuk kepada Pusat Khidmat DUN (PKD).

​Ujarnya, Tok Sidang sudah berusaha memohon bantuan rumah untuk Pakcik Kassim, namun permohonan tersebut terpaksa dihentikan disebabkan masalah pemilikan dan status tanah kediaman.

​Justeru, demi memastikan keselesaan Pakcik Kassim, PKD Bota bersama Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengambil inisiatif membantu sekadar termampu, khususnya membaiki bahagian atap yang rosak.

​”PKD Bota bersama Khidmat Malaysia bantu mana yang boleh agar dia (Pakcik Kassim) boleh duduk selesa di rumah sebelah atas dan tidak lagi di bawah rumah seperti sekarang,” tambah beliau.

​Dr Najihatussalehah turut merakamkan penghargaan kepada Tok Sidang atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan kerja kebajikan ini. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -