
PEKAN: Seramai 800 pelajar dan pesakit kronik daripada golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan zakat bernilai RM300,000 hasil inisiatif tanggungjawab sosial pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours, Ibrahim Mat Sin berkata, sumbangan tersebut melibatkan wakalah zakat berjumlah RM230,000 manakala RM60,000 lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan makanan dan minuman, menjadikan keseluruhan anggaran sumbangan sekitar RM300,000.
Menurut beliau, penerima melibatkan 600 pelajar daripada keluarga asnaf yang menerima RM200 setiap seorang, manakala 200 pesakit kronik asnaf menerima RM500 setiap seorang.
“Saya mengambil keputusan menyalurkan wakalah zakat kepada penduduk daerah ini kerana ingin mengimbau kenangan pernah bertugas sebagai penolong pegawai daerah Pekan selama tujuh tahun dari 1982 hingga 1992,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian zakat kepada pelajar dan pesakit kronik asnaf daerah Pekan yang diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, program berkenaan merupakan kali ketiga dianjurkan di daerah Pekan dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun hadapan sekiranya diberi rezeki berterusan.
“Saya berharap bantuan zakat ini dapat meringankan beban penerima dan dimanfaatkan sebaiknya termasuk untuk keperluan keluarga serta persiapan menjelang bulan Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ini bukan kali pertama Andalusia berkongsi rezeki bersama penduduk daerah ini apabila syarikat itu turut menaja 40 penduduk Pekan menunaikan ibadah umrah pada tahun lalu dan jumlah tersebut ditingkatkan kepada 45 orang pada tahun ini.
“Saya juga berhasrat membawa golongan asnaf di Pekan menunaikan ibadah umrah secara percuma dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar layak, termasuk daripada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pekan, Azora Ahmad Shamsudin berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Andalusia dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang sememangnya memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Andalusia serta pihak terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun. -HARAKAHDAILY 31/1/2026




















