
SEMALAM saya terbaca tulisan panjang Dr Marzuki Mohamad merangkap Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY). Tulisan kali ini nampaknya tidak lagi berselindung, dan menghalakan tulisan langsung kepada dalam (Timbalan Presiden) dan luar partinya (PAS).
Baiklah, dunia langit terbuka, sesiapa sahaja boleh menulis. Hak Dr Marzuki.
Juga saya tak nak respon tulisan berkenaan Timbalan Presiden BERSATU. Tapi saya nak respons apa yang dia kata pasal PAS.
Dr Marzuki tulis kata pimpinan PAS telah mula tanpa selindung kata ‘your time is finished’ kepada TSMY. Kalau Dr Marzuki baca dengan teliti, tulisan daripada Ketua Pemuda PAS Selangor itu merujuk kepada perletakan jawatan TSMY sebagai Pengerusi PN.
Lepas dah letak jawatan maka wajarlah masa anda sebagai Pengerusi telah berakhir. Tetapi kalau selepas meletak jawatan, anda masih cuba menguasai, mengawal organisasi, menentukan siapa pengganti dan lebih teruk ada usaha mengembalikan anda sebagai Ketua, itulah maksudnya ‘your time is finished’.
Dr Marzuki ulas mengenai sindiran ‘kawan makan kawan’, dan kata apa berlaku di Perlis adalah berpunca pergaduhan dalaman PAS dan tak sepatutnya TSMY disalahkan.
Kat sini Dr Marzuki tak jelas, tak faham, atau buat buat tak faham. PAS akui ada perselisihan dalaman PAS. PAS sedang menguruskan. Tapi yang jadi masalah adalah apabila BERSATU Perlis ambil kesempatan menghantar nama Menteri Besar.
Sepatutnya apabila Istana Perlis minta nama, BERSATU patut merujuk kepada PAS sebagai parti yang ada kerusi terbanyak. Tapi tak, dihantarnya nama sebab pelahap nak kerusi Menteri Besar (MB) juga.
Apa tindakan TSMY sebagai Pengerusi PN? Nothing. Keluar kenyataan dia tak pernah arahan sign SD tak pernah arah tarik sokongan kepada MB Perlis dari PAS.
Saya tak mahu ulas panjang bab ini sebab libatkan pihak lain. Tapi Dr Marzuki, you know, I know, alasan TSMY itu mengarut.
Di situ nampak betapa lemahnya kepimpinan TSMY apabila gagal mengawal Pengerusi BERSATU negeri dan kerana itulah penyokong PN mendesak TSMY berundur.
Dr Marzuki juga seronok menyindir PAS kononnya PAS tercari-cari TSMY untuk mendapatkan ‘endorsement’. Dr Marzuki anggaplah apa pun. Tetapi segala tindakan PAS dan pimpinannya adalah untuk selamatkan PN. Untuk memastikan PN dapat rejuvenasi menuju ke PRU16.
Dr Marzuki juga tulis ‘bagi PAS, masalah PN akan selesai apabila TSMY berundur dan PAS lantiklah orangnya sebagai Pengerusi PN’.
Hmm…. boringlah Dr Marzuki. Lama dah bincang bab ni. Setuju dah TSMY berundur. TSMY pun bersetuju dan telah berundur. Sekarang macam duk mengelat macam tak nak berundur pula.
Driver kereta setuju nak berhenti kerja, tapi bawa lari stering kereta. Apa kes?
Saya faham Dr Marzuki sebagai Setiausaha Politik akan tulis membela TSMY. Tapi menyalahkan PAS dalam apa yang berlaku adalah tak betul.
Tulislah secara terang Dr Marzuki nak TSMY teruskan jadi Pengerusi, teruskan jadi bakal Perdana Menteri, teruskan mengetuai BERSATU.
Berterus-terang saja…..Nak malu apa bak kata Professor Agus.
Jalan ke hadapan ada dua pilihan. Pilihlah yang terbaik untuk rakyat, bukan kepentingan diri sendiri.
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 1/2/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











