
ALKISAH, maka tersebutlah alkisah pada zaman dahulu, ada sebuah negeri di pantai Timur Wakanda yang diberi nama Taring Anu. Adapun Taring Anu ini ialah sebuah negeri yang kaya raya, lagi beriman penduduknya kerana memilih kelompok Islam untuk memerintah.
Pantainya memanjang sehingga lebih 300 kilometer hujung ke hujung negeri. Menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negeri. Sehinggakan Taring Anu diisytiharkan negeri bahagia. Di dalam lautnya terdapat hasil bumi yang berbilion dolar nilainya. Di atas tanah besarnya pula terdapat galian yang baharu ditemui.
Hasil ini dahulunya dinikmati oleh kontraktor-kontraktor yang rapat dengan pemerintah sekular. Dan sebagai balasannya, pemimpin sekular negeri akan mendapat peratusan yang lumayan, konon atas nama sumbangan politik dan untuk diagihkan kepada rakyat miskin. Tetapi walhasil, rumah-rumah pimpinan mereka, angka-angka di bank mereka juga bertambah besar dan banyak.
Syarikat-syarikat yang ditubuhkan kerajaan sekular itu majoritinya rugi, membakar duit rakyat. Dek kerana sudah bosan apabila sering diugut dan diperbodohkan oleh pemimpin sekular itu jika mahukan bantuan, rakyat akhirnya membuang golongan sekular ini dari tampuk pemerintahan. Maka jatuhlah mereka dalam keadaan hina dina.
Namun dendam mereka membara. Mereka kemudiannya merompak hasil dari laut Taring Anu itu dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Selepas merompak menggunakan kuasa yang ada, pemimpin baharu Taring Anu yang berlatar belakang agama itu, menghadapi kesukaran untuk mentadbir.
Bukan itu sahaja, wang hasil laut Taring Anu itu kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada kumpulan lain untuk digunakan dalam projek yang tidak membabitkan rakyat Taring Anu. Sehingga kini hutang oleh Kerajaan Pusat Wakanda kepada Taring Anu, masih belum dilunaskan, terutama dalam pembinaan lebuhraya.
Tidak puas dengan itu, puak-puak sekular ini merompak lagi tanah-tanah yang konon alasannya untuk menanam kelapa sawit. Tetapi tidak membayar secukupnya premium tanah kepada kerajaan Taring Anu. Kemudian mengugut pula Exco Pertanian Taring Anu yang mereka akan mengambil tindakan untuk kes ini.
Terbaharu, mereka merompak pula hasil nelayan tempatan dan dibawa pulang ke negeri mereka. Dengan bangga dan sinis mereka mengejek Taring Anu bahawa hasil pendaratan ikan di negeri mereka lebih banyak. Padahal unjam dibina oleh Kerajaan Taring Anu dengan kos jutaan dolar.
Bila dijawab dengan nada serius bahawa kawasan penangkapan ikan sudah ditetapkan di negeri masing-masing dan ianya melanggar peraturan. Dijawab oleh Exco negeri sekular itu, rakyat negeri Taring Anu juga datang mencari makan di negeri mereka. Sedangkan ia dua hal yang berbeza. Dan jawapan itu menunjukkan yang Exco itu sedar nelayan negerinya merompak hasil laut Taring Anu.
Tiada undang-undang melarang di kawasan mana rakyat kena bekerja asalkan halal dan tidak dikira sebagai menceroboh. Manakala isu menangkap ikan di kawasan negeri lain pula termaktub dalam undang-undang. Bandingan yang amat meleset.
Akan datang, diyakini, REE hasil dari perut bumi Taring Anu pula akan dirompak. Mereka sedang berusaha untuk merompak dengan menyediakan peruntukan undang-undang melarang perlombongan kecuali dengan kebenaran mereka.
Mereka kemudian ketawa dan mendakwa rompakan mereka itu mengikut peruntukan perlembagaan. Begitulah puak bangsat yang memerintah, mendakwa mereka Islam, tetapi rompakan demi rompakan, pembohongan demi pembohongan dilakukan mereka tanpa ada muka, tiada rasa malu.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/2/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian _HarakahDaily_ mahupun pendirian rasmi PAS.











