Beras, daging masih titik lemah dalam dasar agromakanan

DAN 2.0 tidak boleh hanya fokus angka SSR, perlu lahirkan sistem makanan bersepadu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang dilaksanakan sejak 2021 perlu dinilai semula bagi memastikan ketahanan makanan negara dapat dicapai secara menyeluruh dan bersepadu.

Menurutnya, dasar yang memberi tumpuan kepada jaminan kelestarian makanan melalui pemodenan sektor agromakanan itu termasuk penggunaan mekanisasi, automasi dan pengukuhan rantaian bekalan.

Ia dengan matlamat mengurangkan kebergantungan import, meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) serta menjamin daya tahan makanan negara.

“Dalam jawapan balas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada soalan saya di Parlimen baru-baru ini, prestasi DAN 2.0 menunjukkan hasil yang positif.

“Pada tahun 2023, Malaysia merekodkan SSR melebihi 100 peratus bagi 26 komoditi terpilih, manakala sektor agromakanan menyumbang 11.4 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

- Advertisement -

“(Iaitu) dengan nilai tambah sebanyak RM178.6 bilion, meningkat berbanding RM161 bilion pada tahun 2021,” ujarnya memetik jawapan Menteri berkaitan terhadap perkara itu.

Namun gesanya, kerajaan perlu mengakui bahawa kelemahan ketara masih wujud bagi dua komoditi strategik utama iaitu beras dan daging di mana masing-masing pada nilai SSR 56.2 peratus dan 15.9 peratus.

Menurut beliau, keadaan tersebut kekal sebagai titik lemah membuka ruang kepada kebergantungan import serta menekan harga di pasaran domestik.

“Dalam konteks iklim yang tidak menentu, kenaikan kos input dan gangguan geopolitik global, dasar ini perlu bergerak daripada sekadar peningkatan pengeluaran kepada ketahanan sistem makanan yang menyeluruh dan bersepadu,” terangnya.

Cadangan penambahbaikan

Pengerusi Perikatan Nasional Pahang itu berkata, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, Kajian Separuh Penggal DAN 2.0 yang sedang dilaksanakan perlu menilai semula struktur insentif dan keberhasilan sebenar di lapangan.

“Antara cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah penubuhan Dana Inovasi Agromakanan Nasional bagi mempercepat penggunaan teknologi digital dan automasi ladang,” cadangnya.

Tambahnya, reformasi sistem data agromakanan perlu dilakukan supaya sasaran SSR dan sumbangan KDNK dapat dipantau secara suku tahunan melalui _‘dashboard’_ nasional keterjaminan makanan.

“Elemen penting lain ialah pembaikan struktur rantaian bekalan agromakanan bagi mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan mekanisme harga serta sistem pengedaran yang lebih adil kepada pengeluar tempatan. 

“Ini dapat menstabilkan harga di pasaran serta memastikan keuntungan diagih secara seimbang sepanjang rantaian nilai,” cadang beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.

Beliau berkata, kejayaan DAN 2.0 tidak wajar diukur hanya melalui angka SSR, tetapi juga sejauh mana dasar itu memperkukuh kemandirian ekonomi petani, daya saing pasaran tempatan dan kesejahteraan pengguna.

“Dengan pendekatan berasaskan data, inovasi dan kerjasama rentas sektor, DAN 2.0 berpotensi menjadi tulang belakang sebenar kepada sekuriti makanan dan kemakmuran ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -