Sijil halal dilonggar selepas perjanjian Amerika-Malaysia?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini turut membabitkan pengimportan hasil tenusu dan daging lembu kepada pengguna di negara ini

- Advertisement -

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) membangkitkan mengenai laporan berkenaan langkah kerajaan memberikan kelonggaran dalam pengurusan Sijil Halal Malaysia kepada produk tersebut.

Beliau berkata, persoalan halal dan haram tidak boleh dipandang mudah kerana ia merupakan elemen penting dalam akidah dan juga ibadah umat Islam selain memberi kesan negatif kepada kehidupan.

“Saya ingin bertanya adakah benda yang dikompromi ini membabitkan isu-isu asas dalam kita mengimport barangan terutamanya daging lembu dari Amerika Syarikat dan diberikan sedikit kelonggaran.

“Saya tidak pertikai kalau diberikan kelonggaran yang tidak membabitkan masalah halal dan haram ini, tetapi adakah kelonggaran yang diberikan ini masuk juga dalam negara kita?” soal beliau.

Menjawab persoalan tambahan itu Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menafikan laporan tersebut, bahkan pihaknya meneruskan prosedur ditetapkan sebelum ini.

Dari segi piawaian kata beliau lagi, tiga Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) dilantik oleh JAKIM untuk pastikan semua pusat penyembelihan haiwan Amerika Syarikat mematuhi piawaian halal.

“Dalam konteks ini tidak ada kekurangan apa sahaja dari segi piawaian atau standard kerana apa yang akan berlaku ialah tiga FHCB yang diiktiraf JAKIM diberikan tugas melawat tempat penyembelihan.

“Ini untuk pastikan pusat penyembelihan atau Abatoir di Amerika Syarikat mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan JAKIM itu, biarpun bukan di bawah bidang kuasa kementerian ini,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjawab pertanyaan jawapan lisan mengenai tindakan kerajaan melonggarkan proses pensijilan halal tanpa kompromi standard impak tariff Amerika Syarikat.

Media sebelum ini menyiarkan kenyataan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa mengenai kesukaran produk pertanian dari Amerika Syarikat untuk memasuki pasaran negara.

Antara alasan dikemukakan beliau ialah standard halal yang ditetapkan pihak berkuasa agama dan perkara itu menjadi tumpuan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara dua buah negara tersebut.

“Bila kita cakap isu halal, Amerika Syarikat merasakan proses sedia ada yang kita laksanakan sekarang ini menyukarkan untuk barangan pertanian, susah untuk masuk dalam negara keranan proses sukar.

“Kita bincangkan apakah proses boleh dirasakan memudahkan dan kerana itu, kita boleh mudahkan proses tanpa berkompromi standard halal kita,” katanya dalam satu wawancara bersama agensi berita tempatan. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -