‘Penjajahan baharu’ ke atas negara: Sejarah berulang?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian dagang ditandatangani Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump pada 26 Oktober lalu disifatkan sebagai ‘ulangan sejarah’ penjajahan bentuk baharu.

- Advertisement -

Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, sesiapa yang mengetahui sejarah tidak akan terkejut dengan situasi tersebut di mana perjanjian perdagangan yang dimeterai itu memperlihatkan dua kepentingan berbeza tetapi saling bertaut.

Iaitu katanya, Amerika Syarikat yang terdesak mempertahankan ekonominya, manakala Malaysia pula mencari keabsahan di mata dunia.

​“Di sebalik perjanjian itu ialah seorang pemimpin kuasa besar yang terdesak hendak mempertahankan ekonomi negaranya daripada kejatuhan sambil meluaskan pengaruh ke seluruh dunia.

​“Di pihak satu lagi, seorang pemimpin sebuah negara membangun yang mengidamkan keabsahan dan sanjungan dunia,” katanya.

​Abdul Kadir menarik perhatian bahawa keadaan ini tidak jauh berbeza dengan sejarah 151 tahun lalu apabila Inggeris mula meluaskan penjajahan ke atas Tanah Melayu melalui Perjanjian Pangkor 1874.

​Jelasnya, ketika itu Raja Abdullah di Perak yang kehilangan takhta, meminta pertolongan seorang ahli perniagaan Cina, Tan Kim Cheng untuk mendapatkan kembali kuasanya.

​Tan Kim Cheng ujarnya, dikaitkan dengan kongsi gelap Ghee Hin, kemudiannya bersekongkol dengan pedagang Inggeris William H Read dan Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke bagi menzahirkan perjanjian tersebut.

​“Dengan persekongkolan itu, termeterailah Perjanjian Pangkor yang menandakan permulaan penjajahan Inggeris melalui Sistem Residen,” ujarnya lagi.

​Natijah daripada perjanjian itu, katanya, Tanah Melayu akhirnya kehilangan kedaulatan akibat kerakusan segelintir pembesar Melayu yang berpakat dengan kuasa luar demi kepentingan peribadi.

​Abdul Kadir menegaskan bahawa perjanjian Anwar-Trump itu juga membuka ruang kepada penguasaan bentuk baharu oleh Amerika terhadap Malaysia mirip penjajahan ekonomi dan budaya.

​Katanya, teks perjanjian itu sendiri sarat dengan istilah _‘Malaysia shall’_ (Malaysia wajib) yang mencerminkan sifat perjanjian berat sebelah serta menggugat kuasa autonomi negara dalam beberapa aspek penting.

​“Nada bahasanya memang menjurus ke arah itu. Saya rasa perjanjian ini wajib dibentang untuk perbahasan di Parlimen. Pandangan rambang seorang dua ahli tidak memadai,” tegasnya.

​Beliau turut berkata, bahawa tindakan Parlimen Amerika yang kerap membatalkan keputusan eksekutif Presiden melalui rang undang-undang dan resolusi wajar dijadikan teladan oleh Malaysia.

Peringat beliau, ia supaya negara tidak menjadi ‘pak turut’ dalam hal dasar dan perdagangan antarabangsa.

​Mengulas lanjut, Abdul Kadir merujuk kepada Perkara 7:5 dalam perjanjian tersebut yang memperuntukkan ruang pembatalan perjanjian melalui notis bertulis dalam tempoh 180 hari.

​“Jangan terlepas ruang bernafas, berfikir dan bertindak yang termaktub dalam Perkara 7:5. Ia memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk membatalkan perjanjian secara sah,” katanya.

​Menurutnya, beberapa syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan budaya dan ekonomi negara, termasuk larangan terhadap kuota siaran tempatan di televisyen.

​“Contohnya, dalam Perkara 2.20 berkaitan penyiaran televisyen, Malaysia wajib membatalkan syarat lesen penyiaran yang memperuntukkan 80 peratus waktu siaran kepada program tempatan dan wajib membenarkan siaran luar pada waktu puncak,” katanya.

​Abdul Kadir menegaskan, peruntukan seperti ini jelas mengancam industri kreatif tempatan serta membuka ruang besar kepada penguasaan budaya asing.

​Selain itu, katanya, syarat yang mengkehendaki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) membeli lebih banyak barangan buatan Amerika dan melabur di negara itu turut menimbulkan persoalan serius terhadap kepentingan ekonomi nasional.

​“Pakar perdagangan antarabangsa boleh kira sendiri mana lebih baik tarif 25 peratus tanpa perjudikan kedaulatan, atau tarif 19 peratus tapi kena ikut telunjuk Amerika?” soal Abdul Kadir.

​Justeru, beliau memberi peringatan agar rakyat dan pemimpin tidak mengulangi kesilapan sejarah memperdagangkan maruah bangsa atas nama pembangunan dan hubungan diplomatik.

​“Setakat ini, memadailah kalau saya kata ada syarat-syarat dalam perjanjian itu yang bunyinya seolah-olah kita sudah jadi tanah jajahan balik,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -