Pembangkang tegur jadi semak imbang, bukan sakit hati

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pengamal Undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, kritikan daripada pembangkang adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang, dan bukannya tanda ‘sakit hati’.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum itu menasihatkan pihak pembangkang agar tidak ‘berasa sakit hati’ terhadap kejayaan kerajaan.

​Perdana Menteri ketika berucap di Dewan Rakyat pagi tadi menyeru semua pihak untuk bersama membangunkan negara.

​“Gunalah kesempatan ini untuk bangunkan negara. Janganlah rasa sakit hati kerana kejayaan negara. Ini kejayaan negara. Perdana Menteri boleh datang dan pergi, naik dan jatuh, tapi negara mesti diangkatkan,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

​Namun, Yusfarizal menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak memahami fungsi dan peranan sebenar pembangkang dalam sistem demokrasi.

​“Negara ini demokrasi. Ada kerajaan, ada pembangkang. Bila pembangkang bersuara, itu bukan tanda sakit hati. Itu tanda cinta kepada negara,” ujarnya.

​Menurut beliau, teguran dan kritikan yang dibuat oleh barisan pembangkang bukanlah semata-mata untuk mencari kesalahan kerajaan, tetapi bagi memastikan segala keputusan dan tindakan kerajaan tidak menyimpang daripada kepentingan rakyat.

​“Negara perlu semak dan imbang supaya kuasa tidak disalah guna. Supaya hala tuju dan tindakan hanya menguntungkan rakyat,” tegasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor.

​Yusfarizal turut mengingatkan bahawa nada lantang pembangkang dalam menyuarakan pandangan adalah reaksi kepada cara Perdana Menteri sendiri yang kerap menyerang dan memperkecilkan pihak lawan sejak awal pentadbirannya.

​“Seawal di‘takhtakan’ jadi Perdana Menteri, kamu terus tuduh pembangkang ambil wang judi. Kamu tuduh pembangkang macam-macam antaranya tidak ada isu, menunggang agama, memperkecil ulama dan lebai,” katanya.

​Beliau turut merujuk kepada tindakan Perdana Menteri yang sering menyindir golongan agamawan, termasuk dalam isu teguran memegang tangan wanita, sebagai bukti komunikasi dua hala yang keras dan tidak profesional.

​“Sikit-sikit kamu sindir lebai, sindir ulama, seolah-olah golongan agama tidak tahu apa-apa. Kemudian bila pembangkang menegur, kamu kata sakit hati? Yang kamu sakitkan hati ramai orang bagaimana pula?” soalnya.

​Mengulas lanjut, Yusfarizal berkata sekiranya Perdana Menteri benar-benar ikhlas mahu membina negara bersama semua pihak, beliau perlu mengubah nada komunikasi dan pendekatan terhadap pembangkang.

​“Kalau mahu sama-sama bina negara, nadanya mesti berbeza. Kerajaan ini pun bukan terlalu kuat. Perlu gabungan, perlu dokongan semua pihak,” ujarnya.

​Beliau mencadangkan agar Perdana Menteri menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua blok politik dan rakyat tanpa mengira fahaman politik demi kepentingan negara.

​“Alangkah baik kalau suatu hari Perdana Menteri berkata, ‘Saya hargai kebijakan semua pembangkang, parti-parti politik dan rakyat. Saya tahu semua ikhlas mahu bina negara. Marilah kita bekerja bersama-sama untuk Malaysia’,” katanya.

​Sebagai tanda kesungguhan ke arah kerjasama politik yang matang, Yusfarizal menyeru kerajaan untuk segera menyalurkan peruntukan adil kepada semua Ahli Parlimen, termasuk dari blok pembangkang, serta menunaikan janji pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar.

​“Barulah itu dinamakan diplomasi. Barulah benar-benar mahu sama-sama bina negara,” katanya lagi.

​Menurut Yusfarizal, pembangkang akan terus memainkan peranan semak dan imbang dengan penuh tanggungjawab bukan kerana ‘sakit hati’, tetapi kerana kasih dan tanggungjawab terhadap masa depan negara. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -