The Greater Kedah 2050: Kemajuan berpaksi kelestarian

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap langkah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri ini dilaksanakan secara seimbang dengan kelestarian alam sekitar, selaras agenda pembangunan mampan negara.

- Advertisement -

Dato’ Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata, kerajaan negeri yakin dengan tadbir urus yang cekap, penyertaan aktif komuniti serta kerjasama pelbagai pihak, Kedah mampu menjadi negeri contoh dalam mencapai keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam.

“Hala tuju pembangunan negeri ini digariskan melalui visi besar The Greater Kedah 2050.Visi ini membawa aspirasi untuk menjadikan Kedah sebagai negeri maju, berdaya saing dan berdaya tahan dengan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN), di sini kelmarin.

Menurut beliau, agenda Environmental, Social and Governance (ESG) serta Sustainable Development Goals (SDG) menjadi kerangka global yang penting dalam menangani cabaran-cabaran semasa termasuk perubahan iklim, ketidaksamaan sosial, ketelusan tadbir urus serta pembangunan mapan.

“Penerapan agenda ini bukan hanya relevan, tetapi merupakan keperluan strategik dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta kemampanan pembangunan negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang.

Beliau menegaskan bahawa negeri yang benar-benar maju bukan diukur hanya melalui pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi juga melalui minda, nilai, dan kesedaran rakyatnya terhadap tanggungjawab memelihara bumi.

Dato’ Mohamad Yusuf turut menekankan bahawa kunci utama kepada perubahan adalah pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar.

“Tanpa pemahaman yang mendalam tentang nilai alam sekitar, masyarakat akan terus mengulangi kesilapan yang sama,” katanya menyeru agar semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat agar memainkan peranan aktif itu.

Beliau mengajak memupuk budaya menghargai alam dan mengamalkan gaya hidup lestari demi memastikan bumi Kedah terus subur, hijau dan sejahtera untuk generasi masa depan. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -