
KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini mencapai kemajuan 93.55 peratus setakat September 2025, menjadikan negeri itu antara yang paling ke hadapan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja-kerja infrastruktur mencatat kemajuan tertinggi iaitu 99.30 peratus, manakala kerja-kerja bangunan mencapai 71.37 peratus, termasuk Stesen Kuala Terengganu yang kini siap 68.87 peratus.
“Hari ini saya meninjau perkembangan semasa projek ECRL di Negeri Terengganu, khususnya di Stesen Setiu, bagi melihat sendiri kemajuan kerja-kerja pembinaan di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Menurut beliau, tinjauan itu turut menyaksikan pelaksanaan sesi pandu uji menggunakan gerabak kerja berkuasa diesel dengan kelajuan maksimum 80 kilometer sejam, sebagai simulasi perjalanan antara Stesen Setiu dan Stesen Kuala Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan projek ECRL dijangka meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan darat di negeri itu selain memperluas akses mobiliti rakyat.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan darat dan membuka lebih banyak akses mobiliti untuk rakyat, khususnya dalam menghubungkan kawasan pesisir dengan pusat-pusat pertumbuhan baharu di negeri ini,” katanya.
Untuk rekod, jajaran ECRL di Terengganu melibatkan pembinaan sepanjang 242 kilometer dari Besut hingga Kemaman, ia merangkumi enam stesen utama iaitu Jertih, Bandar Permaisuri, Setiu, Kuala Terengganu, Kemasik dan Chukai.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 30/10/2025




















