
KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan hasil bumi negeri seperti gas, petroleum dan unsur nadir bumi (REE) tergadai kepada pihak luar jika tidak diurus dengan teliti dan berasaskan kepentingan rakyat negeri.
Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, pengalaman lalu ketika hasil petroleum Terengganu hampir dijadikan cagaran dalam urus niaga melibatkan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudian bertukar menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), perlu dijadikan pengajaran.
“Sekitar tahun 2009 hingga 2014, hasil minyak dan gas di laut Terengganu pernah dikaitkan dengan kes 1MDB, ketika itu bermula sebagai TIA. Dalam tempoh itu, blok pengeluaran minyak di perairan Terengganu hampir dijadikan cagaran kepada pinjaman hutang besar.
“Sehingga menimbulkan pertikaian dan akhirnya TIA diambil alih oleh Kerajaan Pusat lalu dinamakan semula sebagai 1MDB dan perkara ini pernah disahkan sendiri oleh bekas Menteri Besar Terengganu, yang mendedahkan bahawa hasil minyak negeri hampir tergadai akibat urus niaga berisiko tersebut,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan terkini mengenai pengurusan nadir bumi menimbulkan kebimbangan sama, khususnya apabila wujud perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang memperlihatkan kecenderungan membuka eksport bahan tersebut tanpa sekatan atau kuota.
“Dalam perjanjian itu juga, Malaysia dirangka untuk menerima akses lebih mudah produk AS dan bersetuju memperhalusi aturan yang boleh meletakkan kepentingan negara kita sebagai pihak yang tersandarkan kepada keputusan AS,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu boleh memberi kesan negatif termasuk menghakis kedaulatan negeri, mengekang pertumbuhan industri pemprosesan tempatan serta menyebabkan rakyat hanya mendapat pekerjaan bergaji rendah.
“Kesan negatif boleh berlaku apabila eksport nadir bumi dibuka tanpa kawalan, hak negeri untuk menentukan cara hasil itu diproses dan diagihkan kepada rakyat boleh terjejas.
“Akhirnya, negeri sekali lagi kehilangan kekayaan seperti pengalaman pahit era petroleum dahulu hasil banyak ke luar, manfaat sedikit ke dalam,” katanya.
Dewan Muslimat PAS Negeri turut menuntut agar hasil gas, minyak dan nadir bumi diurus berasaskan hak negeri, manakala sebarang perjanjian dengan pihak asing atau Kerajaan Pusat perlu dilaksanakan secara terbuka dan telus.
Zarani juga menggesa agar Kerajaan Negeri Terengganu dilibatkan dalam menilai semula syarat perjanjian Malaysia-AS bagi memastikan kepentingan negeri tidak terjejas.
“Rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya bukan sekadar mahu jadi saksi kekayaan negeri, kami mahu menjadi penerima manfaat sebenar.
“Jangan ulang sejarah minyak dan gas yang pernah hampir tergadai dahulu. Kini dengan peluang baharu seperti nadir bumi, pastikan ia diurus dengan amanah dan berpandukan maruah negeri.
“Pastikan setiap dasar berpaksikan prinsip hasil negeri untuk rakyat negeri. Hasil bumi Terengganu untuk rakyat Terengganu, bukan untuk diletakkan atas meja pihak luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2025














