Kelantan kurangkan jejak karbon hasil inisiatif PKAH

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berjaya mengurangkan jejak karbon dan mengumpul lebih lima tan bahan kitar semula sehingga akhir tahun 2025 impak Program Komuniti Amalan Hijau (PKAH) dilaksanakan 2014.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, PKAH berperanan sebagai wahana memperkasa pendidikan kelestarian alam sekitar dan memperkukuhkan ekonomi kitaran.

Menurutnya, PKAH dilancarkan 2014 membabitkan Kempen Kitar Semula dan mengalakan aktiviti penyisihan bahan plastik, kertas, logam dan sebagainya, digunakan menerusi tiga program.

“Barangan ini digunakan semula melalui Program Pengasingan Pakaian Terpakai, Program Pengasingan E-Waste serta Pengurusan Sis Makanan menghasilkan baja kompos dan Refuse Derived Fuel (RDF).

“Alhamdulillah hasil pelaksanaan inisiatif ini, kita berjaya mengurang jejak karbon dan mengumpul lebih lima tan bahan kitar semula dan ini pencapaian dibanggakan dan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Hotel Renai di sini pada Sabtu lalu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo Kim dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.

Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri sehingga kini melaksanakan tiga program bagi menjaga kelestarian dan keseimbangan alam sekitar di Kelantan termasuk mengawal penggunaan plastik.

Ia membabitkan Kempen Sifat Plastik di Pasar Raya, Kota Bharu Bebas Plastik yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kempen Pengurangan Polisterin dan Penyedut Minuman.

Bahkan pada 2025 kata beliau, hasrat tersebut diperkukuhkan lagi dengan menyalurkan peruntukkan sebanyak RM27.5 juta bagi meneruskan pelbagai program pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

“Peruntukan ini merangkumi pelbagai projek hijau dan inisiatif ekologi yang dirancang di peringkat negeri antaranya termasuk Pemuliharaan Hutan dan Ekosistem, Pengurusan Sisa dan Kebersihan.

“Ia dilaksanakan selaras matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan diterjemahkan dalam konteks lima maqasid syariah yang menjadi pengerak Penghayatan Membangunan Bersama Islam (PMBI),” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -