Kota Bharu jadi destinasi ke-12 Scoot Air di Malaysia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Syarikat penerbangan tambang murah, Scoot, memulakan perkhidmatan pertamanya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTISP) Kota Bharu 26 Oktober 2025 baru-baru ini.

- Advertisement -

Anak syarikat Penerbangan Singapura (Singapore Airlines) itu kini mempunyai 12 laluan ke destinasi di negara ini termasuk Ipoh, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuching dan sebagainya.

Penerbangan yang menggunakan pesawat jenis Embraer E190-E2 yang mempunyai 112 tempat duduk itu, menawarkan perjalanan terus dua kali seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Ahad.

Satu majlis paluan rebana yang menjadi identiti Kelantan, diadakan bagi menyambut penerbangan sulung yang membawa lebih kurang 50 orang penumpang ke Kota Bharu, di sini.

Inisiatif yang dinamakan MyAirportCARES Lestari Seni itu, dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, usaha tersebut merupakan satu sinergi yang memperkukuhkan lagi dunia korporat dan kebudayaan.

Bahkan kata beliau, program berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu memberi tumpuan khusus terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni warisan rebana ubi di Kelantan.

“Kita harap ia akan menjadi perangsang kepada lebih banyak syarikat korporat lain untuk turut serta membantu memartabatkan seni budaya negara serta memperkukuh kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran MYAiportCARES Lestari Seni serta meraikan penerbangan sulung Scoot Air di LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Izani Ghani; Timbalan Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Jamilah Abdul Halim dan Pengarah TIC, Mohd Azwan Ab Rahman. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -