Kembalikan UiTM kepada dasar asal, pendidikan percuma

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PUTRA, Dato’ Ibrahim Ali berpandangan bahawa sudah tiba masanya Universiti Teknologi MARA (UiTM) dikembalikan kepada dasar asalnya.

- Advertisement -

Iaitu tegas beliau, menyediakan pendidikan percuma sepenuhnya kepada semua Bumiputera tanpa mengira miskin atau kaya, seperti termaktub di bawah Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkqta, hak istimewa Melayu dan Bumiputera kini semakin terhakis atas nama keterangkuman kaum, sedangkan Malaysia asalnya terbina atas asas Persekutuan Tanah Melayu dengan tunjang Fasal 153 Perlembagaan Negara.

“UiTM bukan sekadar institusi akademik, tetapi manifestasi kemerdekaan ilmu bangsa Melayu dan Bumiputera. Akar penubuhannya bermula daripada RIDA pada tahun 1956 iaitu ketika bangsa ini baru belajar berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

Menurut Ibrahim, Lembaga Kemajuan Desa dan Perusahaan (RIDA) yang kemudiannya berkembang menjadi Institut Teknologi MARA (ITM) dan akhirnya Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Jelas beliau, semua institusi tersebut adalah madrasah kemajuan moden yang melahirkan generasi Melayu dan pribumi berilmu, berwibawa serta berdaya saing.

Beliau turut menyanjung jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub, yang disifatkan sebagai arkitek sebenar UiTM dan pahlawan bangsa, selain mengucapkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meluluskan kenaikan taraf ITM kepada UiTM pada tahun 1999.

Katanya, UiTM ialah manifestasi paling nyata kepada roh Fasal 153 yang bukan sekadar simbol keistimewaan, tetapi instrumen keadilan pemulihan (redistributive justice) bagi menyeimbangkan kesan penjajahan dan ketidaksamarataan sejarah.

Mengimbas sejarah, Ibrahim yang juga mantan Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA (KSITM) 1972–1974, berkata beliau masih mengingati demonstrasi besar-besaran pada 22 April 1974 apabila ribuan mahasiswa bangkit menuntut taraf universiti untuk ITM.

“ITM ditutup sebulan, ramai pelajar dirawat di hospital dan berdepan pendakwaan. Namun perjuangan itu tidak sia-sia apabila kerajaan akhirnya mengiktiraf diploma ITM setaraf ijazah am,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, perjuangan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila ITM dinaikkan taraf kepada UiTM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai 1999, selepas desakan berterusan daripada graduan ITM sendiri.

Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan percuma di UiTM bukanlah tuntutan populis, sebaliknya hak Perlembagaan yang dijamin oleh Fasal 153.

Katanya, negara-negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun telah membuktikan bahawa pendidikan tinggi percuma bukan beban fiskal, sebaliknya pelaburan sosial strategik yang meningkatkan daya saing bangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa UiTM bukan beban kepada negara, tetapi ‘kilang peradaban’ yang telah melahirkan lebih 900,000 graduan Bumiputera yang berkhidmat sebagai jurutera, doktor, akauntan, arkitek, pegawai, usahawan dan pemimpin dalam pelbagai sektor.

“Setiap sen yang dibelanjakan kepada UiTM ialah pelaburan jangka panjang terhadap kestabilan nasional dan kesejahteraan sosial,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, PUTRA bersama Institut Wawasan Peribumi Malaysia (IWPM) menyeru kerajaan untuk melaksanakan empat perkara utama iaitu mengembalikan UiTM kepada dasar asal sebagai institusi eksklusif pendidikan Bumiputera di bawah payung Fasal 153.

“Melaksanakan pendidikan percuma sepenuhnya di UiTM sebagai pelaksanaan sebenar keadilan perlembagaan; dan menjadikan UiTM simbol nasional keadilan sosial berteraskan Perlembagaan, bukan sekadar universiti awam.

“(Juga) mengiktiraf UiTM sebagai mercu peradaban bangsa, benteng ilmu anak pribumi serta warisan perjuangan nasional,” jelasnya turut menegaskan bahawa UiTM bukan sekadar lambang akademik, tetapi tiang seri negara bangsa.

Katanya, selagi UiTM berdiri, selagi itu roh Fasal 153 bernafas di dada watan kerana pendidikan ialah zakat negara kepada pewaris tanah ini serta ia bukan pemberian politik, tetapi tuntutan moral dan keadilan sejarah.

Beliau menambah bahawa mengembalikan UiTM kepada dasar asal dengan pelaksanaan pendidikan percuma bukan keputusan ekonomi semata-mata, tetapi perisytiharan maruah bangsa Melayu dan bumiputera. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -