
KUALA LUMPUR: Majlis Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) menegaskan sumber mineral nadir bumi (REE) yang terdapat dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Menteri Besar SG4 itu dianggotai Menteri Besar Terengganu sebagai Pengerusi, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Gabungan empat negeri itu yang mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara, komited memastikan hasil kekayaan bumi tersebut diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.
Pelan dan polisi negeri untuk kelestarian manfaat
Menurut kenyataan media itu, setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan serta pembangunan REE yang diselaraskan bersama.
Ia meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.
Polisi semasa menurut kenyataan itu menetapkan mineral kritikal itu kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri terbabit.
Selari dengan aspirasi Persekutuan
SG4 turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia.
“Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi.
“Namun demikian, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.
“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE,” ujar mereka.
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang.
Menuntut model baharu pembahagian hasil
SG4 juga menuntut model baharu pembahagian hasil supaya pembangunan industri REE dilaksanakan di negeri pemilik sumber bagi memastikan limpahan ekonomi dan ekosistem turut dinikmati rakyat setempat.
“Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya,” jelas kenyataan itu.
SG4 turut menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE di peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan. – HARAKAHDAILY 30/10/2025











