
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dibuat secara tergesa-gesa termasuk keputusan negara mengeksport unsur nadir bumi (REE) ke Amerika Syarikat, tanpa mengambil kira kepentingan negeri.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa tanah terletak sepenuh dibawah kerajaan seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, Senarai Negeri.
Beliau mempersoalkan adakah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merujuk Majlis Raja-raja Melayu dan kerajaan negeri mempunyai deposit REE sebelum membuat perjanjian tersebut.
“Perjanjian juga melibatkan REE, tanah terletak di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dan milik negeri secara langsung di bawah Majlis Raja-raja Melayu, adakah tidak dirujuk?
“Memang benar kuasa memasuki perjanjian perdagangan ada pada persekutuan, tetapi berkenaan tanah dan sumber mineral ada haknya pada negeri, adakah ini tidak dibuat atau difikirkan perlu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan perjanjian ditandatangani antara Donald Trump dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Antara lain perjanjian tersebut menetapkan pembangunan REE perlu dibuat menerusi kerjasama syarikat dari Amerika Syarikat selain setuju tidak menyekat dan menetapkan kuota eksport REE ke negara itu.
Malah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan turut mempersoalkan perjanjian tersebut dilihat bercanggah Jadual Kesembilan Senarai Negeri, semalam.
Menurutnya, ia menimbulkan tanda tanya termasuk polisi dan keputusan negeri yang dibuat tanpa kelibat pihak Persekutuan termasuk pemilihan pelabur atau menghadkan pengeluaran REE dalam satu-satu masa.
“Ini menimbulkan persoalan besar, bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau menghadkan eksport REE demi menjamin nilai tambah tempatan, adakah langkah itu akan dianggap melanggar perjanjian ini.
“Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri atau terikat kepada perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat, ini bukan soal politik tetapi soal kedaulatan ekonomi negeri ini,” kata beliau.
Ketua Penerangan PEJUANG itu berkata lagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak perlu melenting apabila ada pihak mendakwa kerajaan mengadai kepentingan negara.
Beliau menjelaskan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu memahami sebarang tindakan kerajaan yang merugikan negara dan rakyat merupakan satu bentuk penjajahan yang baru.
Menurutnya rundingan dalam perjanjian tersebut ternyata tidak memberi keuntungan besar kepada negara selain tiada perubahan terhadap kadar tarif yang dikenakan kepada negara hanya pada 19 peratus.
“Zaman sekarang ia melalui ekonomi, kuasai cara negara lain berniaga, kuasasi undang-undang dan dasar negara lain, mampukah kerajaan tidak akan ikut syarat dikenakan Amerika Syarikat selepas ini.
“Pastikah bila Amerika kata REE tidak boleh, biar China atau Russia beli atau teroka, atau gas (LNG) tidak boleh jual beli dengan Iran, adakah kerajaan akan lawan (kehendak) Amerika,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2025











