Amal Malaysia agih makanan di Sudan sempena Ramadan

Para pelarian perang Sudan berkumpul untuk mendapatkan barangan makanan sumbangan Yayasan Amal Malaysia.
- Advertisement -

ABECHE, CHAD: Terkesan dengan nasib pelarian perang di Sudan, Yayasan Amal Malaysia menggerakkan misi kemanusiaan Iftar 4 Sudan ke sempadan Chad-Sudan sejak minggu lalu.

Semalam, tim relawan Yayasan Amal Malaysia diketuai Timbalan Presidennya, Norazman Ishak mengagihkan bakul makanan kepada 317 keluarga pelarian Sudan di Kem Abgoudam di Abeche, lebih 1,000 kilometer dari ibu kota N’Djamena, Chad.

- Advertisement -

Kem Abgoudam yang menempatkan lebih 3,000 pelarian merupakan antara kem-kem pelarian Sudan di sempadan Timur Chad dan Sudan.

Norazman berkata bantuan makanan sumbangan rakyat Malaysia disalurkan bagi memastikan pelarian umat Islam mempunyai makanan di atas meja sempena Ramadan.

“Bantuan makanan bernilai USD50 (RM200) untuk satu keluarga ini mampu membuat mereka bertahan untuk tempoh sebulan. Terima kasih atas sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin,” kata Norazman.

Turut serta dalam misi itu bendahari Yayasan Amal Kedah, Dr Alias Md Isa dan Syed Azwan Syed Ali.

Majoriti pelarian disantuni adalah mereka dari lokasi kritikal seperti di Khartoum, El Fasher dan Kourdofan yang menyaksikan pertempuran antara tentera kerajaan Sudan dengan pasukan Rapid Support Forces (Sudan).

Perang saudara di Sudan memuncak pada April 2023 hingga menyebabkan lebih 4 juta melarikan diri ke negara jiran antaranya di Chad, Mesir dan Ethiopia.

Lebih 9.5 juta rakyat Sudan pula menjadi pelarian dalam negara. – HARAKAHDAILY 17/2/2026

- Advertisement -