Promosi pelancongan kesihatan diperkasa, Kelantan sasar pasaran serantau

Kamaruddin Mohd Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat usaha mempromosikan pelancongan kesihatan dengan menyasarkan pasaran serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, negara terutamanya seperti Indonesia, Singapura dan Thailand menjadi tumpuan untuk promosi pelancongan Kesihatan bagi negeri ini.

- Advertisement -

“Langkah awal telah dimulakan menerusi promosi di Pekanbaru, Indonesia termasuk penganjuran program lawatan suai kenal bagi menarik pesakit mendapatkan rawatan di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, antara hospital yang bersedia menawarkan perkhidmatan tersebut ialah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang terkenal dengan kepakaran neurologi serta Kota Bharu Medical Centre (KBMC), yang kini menambah kapasiti katil bagi menampung permintaan pesakit dan menawarkan kos rawatan lebih kompetitif.

“Walaupun jumlah pesakit antarabangsa masih belum tinggi, kemasukan pesakit dari Indonesia menunjukkan perkembangan positif,” katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni 2025 di sini.

“Kekuatan Kelantan ialah kualiti rawatan setanding hospital besar di negeri lain tetapi pada kos yang lebih rendah,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi u kepada aspek promosi, manakala pihak hospital perlu terus memastikan mutu perkhidmatan serta rawatan terbaik kerana kemudahan kesihatan menjadi tarikan utama dalam pembangunan pelancongan kesihatan negeri.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri turut menjenamakan semula Tourism Information Centre (TIC) kepada Tourism Kelantan bagi mencerminkan peranan agensi itu yang lebih luas merangkumi pengurusan pelancongan, kebudayaan dan kesenian.

Tambah beliau, keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu lalu dan penjenamaan semula itu menggambarkan fungsi menyeluruh agensi berkenaan yang sebelum ini dilihat sekadar sebagai pusat penerangan pelancongan.

“Perubahan struktur pentadbiran akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk penubuhan lembaga serta penyusunan semula organisasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2026

- Advertisement -