
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah bagi Negeri Kelantan untuk tahun 1447H/2026M sebanyak RM10.00, manakala bayaran RM22.00 digalakkan mengikut keselesaan berdasarkan harga beras yang dimakan.
Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam Negeri Kelantan telah memperkenankan ketetapan tersebut sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 6(1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Yang Dipertua (YDP) MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan ibadah zakat fitrah dapat dilaksanakan dengan teratur serta memberi kemudahan kepada umat Islam menunaikan kewajipan masing-masing.
Menurut beliau, kadar nisab zakat harta bagi Negeri Kelantan untuk tahun 1447H/2026M pula ditetapkan sebanyak RM37,401.00 bagi haul antara Ramadan tahun 1447 hingga Ramadan tahun 1448.
“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal rasmi MAIK,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut berharap semua pihak dapat mengambil maklum mengenai ketetapan tersebut serta bersama-sama menghidupkan Ramadan dengan amalan soleh dan menunaikan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan.
Dalam masa sama, MAIK mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 17/2/2026











