
KEMAMAN: Penantian seorang warga emas untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya berakhir apabila beliau terpilih sebagai penerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal.
Samsudin Ngah, 59, sebelum ini terpaksa menyewa rumah lama dalam keadaan serba kekurangan selain berdepan masalah kesihatan, kini berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa bersama keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, pemilihan penerima dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan berdasarkan kelayakan serta keperluan mendesak, termasuk faktor kesihatan.
Menurutnya, bantuan perumahan seperti PPRT bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, sebaliknya menjadi usaha berterusan kerajaan untuk memastikan golongan rentan dapat menjalani kehidupan lebih terjamin.
“Faktor kesihatan menjadi antara pertimbangan utama bagi memastikan penerima bantuan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, khususnya di usia senja.
“Insya-Allah, mereka sekeluarga dijangka akan berpindah masuk ke rumah PPRT tersebut pada 1 Januari 2026 nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT bertempat di Kampung Bukit Anak Dara Kijal baru-baru ini.
Samsudin yang lebih dikenali sebagai Pok Din turut melahirkan rasa syukur atas bantuan diterima dan menyifatkan rumah baharu itu sebagai anugerah besar dalam hidupnya.
Beliau berkata, peluang memiliki rumah sendiri pada usia sekarang amat bermakna dan memberi ketenangan kepada keluarganya.
“Saya tidak sangka dapat memiliki rumah sendiri pada usia begini. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga.
“Saya doakan semoga Allah membalas jasa baik semua pihak. Rumah baharu ini sangat memberi kelegaan dan keselesaan kepada kami keluarga,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2025




















