
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pengumuman Kabinet baharu sebagai petanda janji reformasi yang dilaungkan sebelum ini telah dikuburkan secara rasmi.
Menurut beliau, keputusan Perdana Menteri untuk terus memegang portfolio Menteri Kewangan membuktikan kegagalan merealisasikan komitmen penting yang pernah dijanjikan kepada rakyat.
“Kabinet baru akhirnya diumumkan. Perdana Menteri masih Menteri Kewangan. Janji penting ‘reformasi’ akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian susulan pengumuman senarai Kabinet baharu oleh Perdana Menteri semalam yang menyaksikan tiada perubahan terhadap pemegangan portfolio kewangan negara.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pernah berpandangan bahawa seseorang Perdana Menteri tidak boleh lagi memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
Nurul Izzah ketika itu berkata, perkara tersebut merupakan agenda utama reformasi dalam pentadbiran kerajaan, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.
Juga disebut daripada Janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama Menteri Kewangan.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Beliau berkata rombakan itu dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi lebih berkesan, mengisi kekosongan sedia ada serta menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Secara keseluruhan, rombakan berkenaan melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri. – HARAKAHDAILY 17/12/2025




















