PAS amal syura, bukan ‘pak turut’ seperti PAN

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

​KUALA LUMPUR: PAS menegaskan segala keputusan dan pendirian parti itu diputuskan melalui kaedah syura dan musyawarah yang tertib, berbeza dengan PAN (Amanah) yang sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada DAP.

- Advertisement -

​Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, dalam soal pemilihan calon Perdana Menteri atau Pengerusi Perikatan Nasional (PN), PAS mempunyai kaedah tersendiri untuk berbincang, mempertimbang dan merundingkan perkara tersebut.

​Menurutnya, tiada pihak luar boleh menentukan pendirian PAS kerana parti itu memutuskan sendiri rakan taawun (kerjasama) atau lawan dengan berprinsip dan bermaruah.

​”Bezanya PAS, kami putuskan sendiri dengan siapa hendak berkawan, dengan siapa hendak berlawan; berprinsip, ada maruah, ada harga diri.

​”Tidak seperti Amanah, semua keputusan ditentukan DAP, hanya ikut cakap DAP. Sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada DAP, tidak lebih seperti ‘kaki kabaret’, hilang prinsip, tergadai maruah, tiada harga diri,” katanya dalam satu kenyataan.

​Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan pihak tertentu mengenai kaedah pemilihan kepimpinan dalam PAS.

​Jelas Syahir, kaedah syura dan musyawarah bukanlah dimulakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semata-mata, sebaliknya merupakan legasi dan tradisi yang dimulakan oleh pimpinan terdahulu yang wajar diteruskan.

​Mengulas lanjut mengenai calon Perdana Menteri, beliau memberitahu bahawa PAS telah membuat pertimbangan baharu dengan mengambil kira pelbagai pandangan (‘qaul’) yang di’tarjih’kan.

​”Insya-Allah PAS akan rundingkan, akan dimuktamadkan dan akan diumumkan mengikut tertib dan kaedahnya.

​”Tidak perlu menyuluh siapa orangnya dan kami tidak perlukan ‘endorsement’ DAP dan Amanah dalam hal ini,” tegasnya.

​Tambahnya, rakyat kini sedang menilai kewibawaan dan kelayakan PAS untuk memimpin negara, berbanding PAN yang disifatkannya semakin hilang arah sehingga nasib masa depan parti itu terpaksa bergantung kepada DAP.

​”Kami diajar untuk bersabar, tidak gopoh, apatah lagi gelojoh. Kami yakin, masa depan PAS dan masa depan Islam semakin cerah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/1/2026

- Advertisement -