
ALOR GAJAH: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilihat semakin mendapat perhatian sebagai pilihan utama pengundi susulan perkembangan isu politik semasa di peringkat nasional.
Menurut PAS Kawasan Alor Gajah, parti itu dilihat kekal mempertahankan integriti dan prinsip perjuangannya walaupun berhadapan cabaran serta risiko ketidakstabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Sehubungan itu, PAS Kawasan Alor Gajah menerusi Lajnah Pemerkasaan Parti memaklumkan pihaknya menerima peningkatan permohonan keahlian baharu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.
Lajnah berkenaan dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Shamsul Bahrin Mohd Saad.
Menurut kenyataan itu, selepas Mesyuarat Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) N.08 Machap Jaya baru-baru ini, sebanyak 53 borang permohonan keahlian baharu PAS dalam kawasan DUN Machap Jaya diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Mohsin Ibrahim.
“Lebih menarik lagi, antara mereka ada yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang berminat menyertai Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP).
“(Ia) kerana tertarik dengan pendekatan PAS yang dilihat lebih inklusif dan sederhana dewasa ini dalam mendepani arus politik semasa yang memerlukan sokongan masyarakat berbilang kaum,” ujar kenyataan itu.



PAS Kawasan Alor Gajah turut merakamkan penghargaan kepada JPrD N.08 Machap Jaya atas usaha dan komitmen yang berterusan dalam memperkukuhkan gerak kerja parti.
Usaha berkenaan, menurut kenyataan itu, adalah sebahagian daripada persiapan ke arah mencapai kejayaan pada pilihan raya negeri akan datang. – HARAKAHDAILY 6/1/2026



















