
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin PAS menzahirkan doa dan ucapan kesejahteraan buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendoakan agar Tun Dr Mahathir dikurniakan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan.
“Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad dikurniakan kesembuhan segera, dipermudahkan rawatan di Institut Jantung Negara serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” ujarnya di dalam media sosial miliknya.
Sementara itu, Pengerusi Lujnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi turut menyampaikan doa agar Tun Dr Mahathir diberikan kesihatan yang baik.
“Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan rawatan di Institut Jantung Negara serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Amin,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar turut menyampaikan doa agar Tun Dr Mahathir diberikan kesihatan yang baik.
“Semoga Tun Dr Mahathir bin Mohamad diberikan kesembuhan dan sentiasa dalam limpahan rahmat Allah SWT,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 9.30 pagi selepas terjatuh di kediamannya pada awal pagi hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, yang memaklumkan beliau kini berada dalam pemantauan menyeluruh dan dibawa ke IJN dengan ambulans.
Pejabat Dr Mahathir dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai keadaan kesihatannya dan untuk rekod, beliau pernah dimasukkan ke IJN pada Julai 2025 akibat keletihan. – HARAKAHDAILY 6/1/2026



















