
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan dalam penghapusan bangsa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata, Israel sekali lagi menggagalkan usaha menghantar bekalan ke Gaza dan peristiwa tahun 2010 berulang kembali.
“Nampaknya tiada apa yang mampu menghentikan genosid di Gaza. Kerajaan telah gagal, proses undang-undang telah gagal, dan kini tindakan rakyat juga gagal,” ujarnya.
Menurut beliau, punca utama semua kegagalan itu ialah kerana Amerika Syarikat memberikan sokongan penuh terhadap setiap jenayah yang dilakukan oleh Israel termasuk pembunuhan besar-besaran, pengeboman dan pemusnahan hospital serta pembunuhan wartawan.
“Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan diri daripada menjadi rakan dalam perang genosid di Gaza ini.
“Amerika-lah yang menggunakan kuasa veto menolak resolusi gencatan senjata yang disokong majoriti ahli Perhimpunan Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Dana dan senjata yang digunakan juga datang dari Amerika Syarikat,” tegasnya.
Beliau turut berkata, Amerika bersalah melakukan genosid terhadap lelaki, wanita, kanak-kanak, bayi dan pesakit hospital di Gaza.
“Amerika telah kehilangan hak untuk mendakwa dirinya sebagai pihak bermoral tinggi mulai sekarang dan pada masa akan datang,” katanya. -HARAKAHDAILY 6/10/2025




















