
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan mengenai bahaya yang menurutnya sedang dihadapi oleh orang Melayu, termasuk risiko kehilangan negara sendiri.
Beliau berkata, bahaya itu boleh berlaku kerana separuh daripada Semenanjung sudah terlepas daripada pemilikan orang Melayu, termasuk kawasan bandar yang menurutnya tidak lagi dimiliki oleh masyarakat itu sehingga calon Melayu tidak boleh bertanding di kawasan bandar.
“(Kawasan) Bandar kini berkembang sehingga tiga atau empat kali ganda, dan kawasan pinggir bandar yang sudah menjadi sebahagian daripada bandar juga tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu selepas mereka menjual tanah berkenaan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, hampir semua ladang besar yang dahulunya milik penjajah turut terlepas daripada pemilikan Melayu, begitu juga kawasan perumahan mewah, kawasan industri, taman tema, ladang pertanian dan lombong.
Beliau berkata, hampir keseluruhan Pulau Pinang juga tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu.
“Dengan kehilangan tanah milik orang Melayu, kawasan-kawasan pilihan raya Melayu juga akan berkurangan. Ini diburukkan lagi apabila orang Melayu enggan mengundi,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Tambah beliau, orang Melayu kini berpecah sehingga tiada parti Melayu yang mungkin menang jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Katanya, jika orang Melayu bersatu dan meletakkan hanya satu calon bagi setiap kawasan, besar kemungkinan calon itu akan menang, terutama jika semua pengundi keluar mengundi.
“Penyelesaian kepada masalah itu ialah dengan orang Melayu bersatu di bawah satu payung besar sebagai orang Melayu, dengan mengetepikan parti atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelamatkan Tanah Melayu,” tegas Dr Mahathir.
Beliau turut menyentuh mengenai kemiskinan orang Melayu yang menurutnya menjadi punca kelemahan masyarakat itu walaupun orang Melayu berjaya menabung melalui institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memiliki dana berbillion ringgit sehingga mampu membina bangunan 118 tingkat.
“Dana kerajaan seperti rizab Bank Negara berjumlah USD120 bilion (RM400 bilion), selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji turut mempunyai dana berbillion ringgit,” jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar dasar pembekuan penjualan tanah diperkenalkan kecuali jika pembeli ialah dana-dana tersebut, manakala tanah masih boleh disewa atau diberikan pajakan bagi meneruskan projek pembangunan dan membolehkan pemilik tanah memperoleh hasil daripada peningkatan nilai tanah.
“Walaupun tindakan-tindakan ini boleh selamatkan pemilikan tanah oleh orang Melayu, tetapi penyelesaian masalah tidak dapat di atasi. Akhirnya masalah kemiskinan orang Melayu perlu diatasi.
“Kemiskinan boleh diatasi hanya dengan orang Melayu mengambil bahagian dalam perniagaan dan perusahaan. Untuk ini sikap dan sifat yang ada pada orang Melayu perlu diubah,” hujahnya.
Dr Mahathir menyatakan juga, aset negara seperti tanah, sungai dan laut serta iklim Malaysia yang sesuai dengan pelbagai jenis perniagaan dan perusahaan tidak banyak dieksploitasi oleh orang Melayu, sebaliknya diserahkan kepada orang asing.
Katanya, untuk mengurangkan kemiskinan, cara terbaik ialah orang Melayu mengusahakan sendiri aset mereka atau terlibat secara langsung dengannya.
”Jika orang Melayu berhasrat untuk kurangkan kemiskinan, cara yang terbaik ialah dengan mereka berusaha eksploitasi aset mereka sendiri ataupun mengambil bahagian dalamnya,” ujar beliau.
“Nilai hidup pegangan orang Melayu juga perlu dibetulkan. Kegemaran terhadap cara-cara yang mudah menyebabkan orang Melayu pilih kerja bergaji dan tidak perniagaan.
“Nilai hidup ini perlu dialih supaya sanggup hadapi yang tidak mudah dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan,” katanya. –HARAKAHDAILY 21/11/2025



















